Orang awam berteduh di khemah ketika kediaman mereka dinaiki air di Sukkur, wilayah Sindh, Pakistan. - FOTO AFP
Orang awam berteduh di khemah ketika kediaman mereka dinaiki air di Sukkur, wilayah Sindh, Pakistan. - FOTO AFP
AFP

Sukkur, Pakistan: Wilayah Sindh di selatan Pakistan yang dilanda banjir bersiap sedia untuk menghadapi banjir baru dari sungai yang semakin penuh di utara di saat jumlah kematian akibat monsun tahun ini mencecah 1,000 orang.

Sungai Indus yang mengalir melalui wilayah kedua paling ramai penduduk di Pakistan mengumpul punca air dari berpuluh-puluh anak sungai gunung di utara, tetapi banyak tebing telah pecah berikutan rekod hujan dan pencairan glasier.

Pegawai memberi amaran air deras dijangka sampai ke Sindh dalam beberapa hari akan datang, menambah kesengsaraan kepada berjuta-juta yang sudah sedia terjejas akibat banjir.

"Ketika ini, Indus dalam banjir besar," kata Aziz Soomro, penyelia benteng yang mengawal aliran sungai berhampiran Sukkur.

Monsun tahunan adalah penting untuk mengairi tanaman dan menambah tasik serta empangan di seluruh benua India, tetapi ia juga membawa kemusnahan.

Pegawai berkata, banjir monsun tahun ini telah menjejaskan lebih 33 juta orang -- satu daripada tujuh rakyat Pakistan -- memusnahkan atau merosakkan teruk hampir sejuta rumah.

Pada Ahad, Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan negara itu berkata angka kematian akibat hujan monsun mencecah 1,033, dengan 119 terbunuh dalam tempoh 24 jam sebelumnya.

Ia berkata banjir tahun ini adalah setanding dengan 2010 -- yang paling teruk dalam rekod -- apabila lebih 2,000 orang maut dan hampir satu perlima daripada negara itu tenggelam.

Beribu-ribu orang yang tinggal berhampiran sungai yang dilanda banjir di utara Pakistan diarah berpindah dari zon bahaya, tetapi helikopter tentera dan penyelamat masih berusaha menyelamatkan mereka.

"Orang ramai dimaklumkan sekitar pukul tiga atau empat pagi untuk mengosongkan rumah mereka," kata pekerja penyelamat Umar Rafiq kepada AFP.

"Apabila banjir melanda kawasan itu kami perlu menyelamatkan kanak-kanak dan wanita."

Banyak sungai di kawasan itu -- destinasi pelancongan indah gunung dan lembah -- telah pecah tebingnya, merobohkan banyak bangunan termasuk sebuah hotel 150 bilik yang runtuh akibat arus deras.

Pemilik rumah tamu Nasir Khan, yang perniagaannya terjejas teruk akibat banjir 2010 berkata, dia telah kehilangan segala-galanya.

"Ia telah menghanyutkan baki bahagian hotel itu," katanya kepada AFP.

Pegawai menyalahkan kemusnahan akibat perubahan iklim yang didorong oleh manusia, mengatakan Pakistan secara tidak adil menanggung akibat daripada amalan alam sekitar yang tidak bertanggungjawab di tempat lain di dunia.

Pakistan berada di tempat kelapan dalam Indeks Risiko Iklim Global NGO Germanwatch, senarai negara yang dianggap paling terdedah kepada cuaca ekstrem yang disebabkan oleh perubahan iklim.

Memburukkan lagi keadaan, rasuah, perancangan yang buruk dan melanggar peraturan tempatan bermakna beribu-ribu bangunan telah didirikan di kawasan yang terdedah kepada banjir bermusim.

Kerajaan telah mengisytiharkan darurat dan menggerakkan tentera untuk menangani apa yang dikatakan oleh Menteri Perubahan Iklim Sherry Rehman sebagai "malapetaka skala epik".

Di bahagian Sindh, satu-satunya tanah kering adalah jalan bertingkat dan landasan kereta api, di samping itu puluhan ribu penduduk luar bandar miskin berteduh dengan ternakan mereka.

Berhampiran Sukkur, sederet khemah sejauh dua kilometer, dengan orang ramai masih tiba dengan bot yang sarat dengan katil kayu serta periuk dan kuali -- satu-satunya harta benda yang boleh mereka selamatkan.

"Air mula naik di sungai sejak semalam, membanjiri semua kampung dan memaksa kami melarikan diri," kata pekerja buruh Wakeel Ahmed, 22, kepada AFP.

Penyelia Barrage Soomro memberitahu AFP setiap pintu air dibuka untuk menangani aliran sungai melebihi 600,000 meter padu sesaat.

"Pada masa ini bekalan sangat terhad," kata Muhammad Ismail, seorang pekedai hasil di Rawalpindi.

"Tomato, kacang pea, bawang dan sayur-sayuran lain tidak tersedia kerana banjir," katanya kepada AFP, sambil menambah harga juga melambung tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2022 @ 3:42 PM