KEADAAN rumah di daerah Gayan, wilayah Paktika, yang rosak akibat gempa. FOTO AFP
KEADAAN rumah di daerah Gayan, wilayah Paktika, yang rosak akibat gempa. FOTO AFP
Agensi

Kabul: Taliban merayu bantuan antarabangsa susulan gempa bumi berukuran 6.1 skala Ritcher melanda Afghanistan menyebabkan lebih 1,000 terbunuh, dan sekurang-kurangnya 1,500 cedera, menurut United Press International (UPI).

Gempa berlaku awal Rabu kira-kira 28 batu barat daya Khost berhampiran sempadan Pakistan dan dapat dirasai sejauh India.

Ia diikuti gempa bumi yang lebih kecil berukuran 4.5 magnitud.

Wilayah Paktika di tenggara adalah yang paling teruk terjejas dengan usaha menyelamat terhalang oleh hujan lebat dan hujan batu.

Ia adalah gempa bumi paling dahsyat yang melanda Afghanistan dalam tempoh dua dekad dan berlaku kurang setahun selepas Taliban mendapat semula kuasa berikutan kejatuhan kerajaan yang disokong Barat.

DERETAN ambulans yang membantu membawa mangsa cedera. FOTO EPA
DERETAN ambulans yang membantu membawa mangsa cedera. FOTO EPA

Semalam, pegawai Taliban meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyokong mereka dari segi menilai keperluan dan membantu mereka yang terjejas, UPI memetik Sam Mort dari unit Kabul UNICEF kepada BBC.

Wakil khas Britain ke Afghanistan, Nigel Casey berkata, United Kingdom (UK) sedang berhubung dengan PBB dan bersedia untuk memberi sumbangan.

Wakil khas PBB, Dr Ramiz Alakbarov dalam ciapannya berkata, PBB sedang menilai kejadian itu, dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Situasi agak kritikal, kata jurucakap Taliban, Bilal Karimi kepada NBC News.

"Ratusan rumah runtuh dan kami menjangkakan lebih banyak korban serta kerosakan infrastruktur yang serius,"

Sebelum Taliban mengambil alih, perkhidmatan kecemasan Afghanistan sudah diperluaskan dengan beberapa helikopter tersedia untuk membantu mangsa.

Bekalan perubatan juga turut berkurangan.

Seorang wartawan di zon gempa berkata, komunikasi selepas gempa sukar kerana kerosakan pada menara telefon bimbit yang boleh meningkatkan lagi angka kematian, menurut BBC.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2022 @ 11:01 AM