PENDUDUK Afghanistan menunggu bantuan diagihkan di kawasan terjejas gempa bumi di Gayan. FOTO Reuters.
PENDUDUK Afghanistan menunggu bantuan diagihkan di kawasan terjejas gempa bumi di Gayan. FOTO Reuters.
Reuters

Kabul: Operasi menyelamat mangsa gempa bumi di wilayah terpencil Afghanistan dan bersempadan Pakistan hampir selesai, dengan pelbagai bantuan sudah mulai tiba.

Jurucakap komander tertinggi tentera Taliban, Mohammad Ismail Muawiyah berkata, "tiada lagi orang terperangkap di bawah sisa runtuhan."

Katanya, bencana pada Rabu yang melanda kawasan di 160 kilometer dari tenggara Kabul itu, mengorbankan sekurang-kurangnya 1,000 orang dan lebih 3,000 rumah musnah.

Wilayah Paktika menjadi lokasi paling terjejas, manakala usaha menyelamat sukar susulan hujan lebat dan hujan batu.

Masalah komunikasi dan jalan raya teruk turut menyulitkan bantuan tiba di negara sedia bergelut krisis kemanusiaan, yang semakin meningkat sejak Taliban mengambil alih kerajaan pada Ogos tahun lalu.

Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis berkata, kerajaan Taliban sudah melaksanakan 90 peratus operasi mencari dan menyelamat seawal tragedi.

Angka korban akibat gempa bumi itu adalah terburuk dalam tempoh 20 tahun menurut data kerajaan Amerika Syarikat.

Jurucakap kementerian kesihatan, Sharafat Zaman berkata, kira-kira 1,000 orang diselamatkan, pagi Khamis.

"Bantuan sudah tiba di kawasan terjejas dan berterusan, tetapi perlukan lebih lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Jun 2022 @ 4:08 PM