PENDUDUK Kabul bergegas pulang ke rumah selepas berita Taliban sudah menghampiri ibu negara itu. FOTO EPA
PENDUDUK Kabul bergegas pulang ke rumah selepas berita Taliban sudah menghampiri ibu negara itu. FOTO EPA
Agensi

Kabul: Taliban sudah mula memasuki Kabul yang juga ibu negara dan bandar terbesar di Afghanistan, lapor Kementerian Dalam Negeri negara itu.

Al-Jazeera melaporkan perkembangan terbaharu itu beberapa jam selepas kumpulan itu merampas bandar utama di timur negara itu iaitu Jalalabad, sekali gus menguasai laluan penting menghubungkan Afghanistan dan Pakistan.

Menurut seorang pemimpin Taliban di Doha, yang menjadi lokasi siri rundingan antara kumpulan itu dengan Kerajaan Afghanistan berkata, pejuangnya diarahkan untuk mengelakkan keganasan dan memberi laluan kepada mana-mana individu yang mahu meninggalkan Kabul.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada kerajaan pimpinan Presiden Ashraf Ghani akan mengambil tindakan balas atau menyerah.

TENTERA kerajaan berkawal di satu lokasi di Kabul. FOTO EPA
TENTERA kerajaan berkawal di satu lokasi di Kabul. FOTO EPA

Sebelum ini, AFP melaporkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, sudah mengarahkan lebih ramai tentera bagi membantu operasi pemindahan keluar pegawai AS dan sekutunya selepas Taliban menawan bandar Mazar-i-Sharif serta semakin hampir menakluki Kabul.

Ia selepas penduduk mengesahkan kejatuhan bandar Mazar-i-Sharif yang sebelum ini kubu anti-Taliban.

Ghani yang berdepan kepungan musuh, sebelum ini, ketika menyampaikan ucapan kepada penduduk negara itu berikrar untuk menghentikan pertumpahan darah meskipun pasukan pertahanan kerajaan mengalami kekalahan sejak 10 hari lalu.

Ghani bagaimanapun tidak memberi petunjuk dalam ucapannya sama ada beliau akan bertanggungjawab ke atas kejatuhan pasukan tentera atau mengundurkan diri.

Secara efektifnya, Kabul menjadi satu-satu kubu terakhir untuk pasukan pertahanan kerajaan dan tidak atau mempunyai sedikit keupayaan di kawasan lain.

Kumpulan pemberontak sebelum ini bertindak mendirikan kem kira-kira 50 kilometer (km) dari ibu negara Afghanistan itu.

AS dan negara lain pula sedang bergegas untuk memindahkan rakyat mereka dengan selamat kerana bimbang berlaku serangan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Ogos 2021 @ 6:43 PM