PASAR di Kabul. FOTO fail AFP
PASAR di Kabul. FOTO fail AFP
AFP

Kabul: Taliban meluluskan belanjawan pertama Afghanistan sejak mereka mengambil alih kuasa negara itu pada Ogos.

Jurucakap Kementerian Kewangan Taliban, Ahmad Wali Haqmal berkata, belanjawan 53.9 bilion afghani (RM2.15 bilion) yang diluluskan kelmarin akan meliputi suku pertama 2022 dan hampir sepenuhnya didedikasikan untuk membiayai institusi kerajaan.

Katanya, kira-kira 4.7 bilion afghani (kira-kira RM190 juta) akan dibelanjakan untuk projek pembangunan termasuk infrastruktur pengangkutan.

"Ia jumlah yang kecil tetapi itulah yang mampu kami lakukan sekarang.

"Perbendaharaan Taliban dibiayai oleh 'sumber kita sendiri' termasuk hasil cukai, perdagangan dan perlombongan.

"Buat pertama kali dalam dua dekad lalu, kami membuat bajet yang tidak bergantung kepada bantuan asing dan itu adalah pencapaian yang sangat besar bagi kami," katanya.

Katanya, pekerja negeri yang ramai tidak dibayar gaji akan mula menerima gaji pada penghujung Januari ini.

"Kakitangan wanita, yang kebanyakannya disekat daripada kembali ke pekerjaan mereka juga akan dibayar.

"Kami mengira mereka seperti mereka sudah kembali bekerja. Kami tidak memecat mereka," katanya.

Bagaimanapun, ia tidak menyebut bantuan diterima daripada pihak antarabangsa.

Bantuan antarabangsa mewakili 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Afghanistan dan membentuk 80 peratus daripada belanjawan mereka ketika bekas kerajaan yang disokong Amerika Syarikat (AS) itu menguasai negara itu.

Apabila digulingkan pada Ogos sebelum Taliban mengambil alih kuasa, kuasa Barat membekukan berbilion dolar dalam bentuk bantuan dan aset yang disifatkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai kejutan fiskal yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 9:31 AM