Anggota Taliban mengawal orang ramai yang beratur untuk mendapatkan gandum sebagai ganti gaji kerana tidak mempunyai aliran tunai mencukupi untuk membayar gaji kakitangan awam. - FOTO EPA
Anggota Taliban mengawal orang ramai yang beratur untuk mendapatkan gandum sebagai ganti gaji kerana tidak mempunyai aliran tunai mencukupi untuk membayar gaji kakitangan awam. - FOTO EPA
AFP

Kabul: Kementerian Kewangan Afghanistan di bawah kerajaan baru Taliban sedang menyediakan draf belanjawan negara, yang pertama kalinya dalam dua dekad tidak membabitkan sebarang bantuan dana asing.

Ia dilaksanakan ketika negara itu dilanda krisis ekonomi dan menghadapi malapetaka kemanusiaan yang serius disebut oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai "runtuhan kelaparan".

Jurucakap menteri kewangan, Ahmad Wali Haqmal tidak mendedahkan saiz belanjawan berkenaan yang akan berlangsung sehingga Disember 2022 namun, memaklumkan AFP bahawa ia akan dibawa ke kabinet untuk kelulusan sebelum diterbitkan.

"Kami cuba membiayai belanjawan ini daripada pendapatan domestik dan kami percaya boleh melakukannya," katanya dalam satu temubual televisyen.

Penderma global menghentikan bantuan kewangan ketika Taliban kembali berkuasa pada Ogos lalu dan kuasa Barat turut membekukan akses kepada aset bernilai berbilion dolar.

Haqmal mengakui bahawa penjawat awam masih belum dibayar gaji untuk beberapa bulan, namun menyatakan bahawa 'kami akan melakukan yang terbaik' untuk melangsaikan bayaran tertunggak itu menjelang hujung tahun.

Katanya, pihaknya juga sedang menyiapkan skim gaji baru.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Disember 2021 @ 5:20 PM