KEADAAN di salah satu tempat pembakaran mayat di New Delhi. FOTO EPA
KEADAAN di salah satu tempat pembakaran mayat di New Delhi. FOTO EPA
AFP

New Delhi: Kematian akibat Covid-19 di India melepasi 200,000 orang hari ini dengan lebih 3,000 maut dalam tempoh 24 jam susulan gelombang kedua pandemik itu.

Data Kementerian Kesihatan menunjukkan, 201,187 mangsa kini disahkan maut di India termasuk 3,293 kematian dalam tempoh 24 jam lalu.

Namun, pakar mengesyaki jumlah sebenar adalah jauh lebih tinggi.

India, setakat ini, melaporkan 18 juta jangkitan selepas peningkatan 360,000 kes dalam tempoh 24 jam yang juga rekod baharu dunia.

India mencatatkan hampir enam juta kes baharu yang didakwa berlaku kerana perhimpunan besar-besaran bagi acara politik dan keagamaan bulan ini saja.

Hampir semua hospital utama kini kekurangan bekalan perubatan dan oksigen selain kekurangan katil serta kakitangan.

Ibu negara, New Delhi mengalami krisis paling teruk dengan ramai pesakit mati di pekarangan hospital sementara menunggu rawatan, selain terpaksa berkongsi katil dan bekalan oksigen.

Setakat ini, 150 juta dos vaksin sudah diberikan menerusi program vaksinasi yang diperluaskan untuk merangkumi semua penduduk dewasa iaitu kira-kira 600 juta orang.

Bagaimanapun, kebanyakan negeri memberi amaran mereka kekurangan stok vaksin dan pakar menggesa kerajaan persekutuan mengutamakan kumpulan berisiko tinggi dan kawasan paling teruk terjejas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 April 2021 @ 2:55 PM