PETUGAS kesihatan membantu pesakit Covid-19 untuk memasuki kereta di sebuah hospital di New Delhi. FOTO AFP
PETUGAS kesihatan membantu pesakit Covid-19 untuk memasuki kereta di sebuah hospital di New Delhi. FOTO AFP
AFP

New Delhi: Peningkatan jangkitan dan kematian di India dilaporkan semakin teruk akibat 'tsunami' kedua Covid-19 menyebabkan ibu kota negara itu, New Delhi melanjutkan sekatan pergerakan (lockdown).

Bandar raya utama di utara itu mempunyai 20 juta orang dan paling teruk terjejas selepas lockdown selama seminggu pada Isnin kerana katil hospital dan bekalan oksigen hampir habis.

"Kami memutuskan untuk memanjangkan lockdown selama satu minggu," kata Ketua Menteri Delhi Arvind Kejriwal dalam satu kenyataan video.

"Malapetaka koronavirus terus berlanjutan dan tidak reda," katanya.

Pengumuman itu dibuat ketika sistem penjagaan kesihatan berjuang untuk mengatasi lonjakan besar kes dengan hospital kekurangan oksigen dan ubat-ubatan sehingga ada keluarga pesakit meminta pertolongan di media sosial.

Delhi pada Ahad melaporkan hampir 23,000 kes baharu - dengan satu pertiga daripada mereka yang menjalani ujian menunjukkan hasil positif - dan 350 kematian.

Terdapat kritikan terhadap pemimpin atas tuduhan pihaknya tidak bersedia menghadapi gelombang kedua itu.

Dalam tempoh tujuh hari, India mencatatkan lebih dua juta kes iaitu peningkatan 58 peratus pada minggu sebelumnya, menurut data yang dikumpulkan oleh AFP.

Negara yang mempunyai kapasiti penduduk 1.3 bilion itu mencatatkan 349,691 kes baharu dan 2,767 kematian iaitu tertinggi sejak bermulanya wabak itu.

Kerajaan meningkatkan usaha untuk menyediakan bekalan oksigen melalui kereta api khas dan pengangkut kontena dari negara lain.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 April 2021 @ 10:22 AM