GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
AFP

Kuala Lumpur: Sebuah bot yang membawa puluhan etnik Rohingya termasuk wanita dan kanak-kanak dilaporkan karam dan sekurang-kurangnya lapan maut akibat kejadian berkenaan, kata kumpulan hak asasi dan agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), hari ini.

Kumpulan dari minoriti Muslim itu dipercayai kerap melakukan perjalanan untuk ke Malaysia bagi melarikan diri dari kem pelarian di Bangladesh.

Kapal itu dipercayai berlepas dari Bangladesh pada 11 Februari dengan 90 orang di dalamnya, termasuk 65 wanita dan kanak-kanak perempuan, kata Chris Lewa, dari Projek Arakan, kepada AFP.

Namun, bot berkenaan rosak selepas beberapa hari, kehabisan makanan dan air serta kini hanyut di Laut Andaman dekat dengan Kepulauan Andaman dan Nicobar di India, kata Lewa yang mengakui kumpulannya mengesan perjalanan bot etnik berkenaan.

Enam wanita dan dua lelaki dipercayai mati setakat ini, kebanyakannya disebabkan oleh dehidrasi.

Lewa berkata, kumpulannya turut berhubung dengan pendatang di dalam boti tu dan agensi pelarian PBB mengesahkan bahawa berlakunya kehilangan nyawa.

Pihak berkuasa maritim India tiba di daerah itu baru-baru ini dan dipercayai telah memberi bekalan kepada mereka, kata Lewa.

Agensi pelarian meminta "tindakan segera untuk menyelamatkan nyawa dan mencegah tragedi selanjutnya.

"Kami meminta semua pemerintah untuk menggunakan kemampuan pencarian dan usaha menyelamat untuk membantu mereka," katanya.

Rohingya berasal dari Myanmar tetapi sekitar 750,000 melarikan diri dari sempadan ke Bangladesh berikutan tindakan keras tentera pada 2017, dan kini tinggal di kem pelarian terbesar di dunia.

Ramai antara mereka berjaya memasuki Malaysia yang menempatkan komuniti besar Rohingya di mana mereka dapat mencari pekerjaan dengan gaji rendah seperti di sektor pembinaan.

Namun, perjalanan mereka tidak mudah dan mengerikan, dengan pendatang menghadapi penderaan dan dipukul oleh ejen pemerdagangan manusia, selain ramai yang mati dalam perjalanan.

Ia juga menjadi lebih sukar sejak tahun lalu selepas pihak berkuasa meningkatkan rondaan di sempadan maritim negara akibat pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2021 @ 9:50 PM