pelarian Rohingya  menunggu masa untuk bot mengangkut keluarga  di seberang Sungai Naf ke Bangladesh.
pelarian Rohingya menunggu masa untuk bot mengangkut keluarga di seberang Sungai Naf ke Bangladesh.
HM Digital

Cox Bazar: Pengawal pantai Bangladesh menyelamatkan sekumpulan pelarian Rohingya yang menggunakan bekas air plastik sebagai alat apungan ketika menyeberangi sungai sempadan dalam cubaan mereka melarikan diri dari Myanmar.

Ketika itu, seramai 11 pelarian Rohingya berkenaan menunggu masa untuk bot mengangkut keluarga itu di seberang Sungai Naf ke Bangladesh, namun tiada siapa pun tiba, kata pengawal pantai Bangladesh, Abdul Jalil.

“Mereka membuat keputusan berenang sejauh dua kilometer (1.25 batu) di seberang muara sungai. Pengawal pantai mengutip mereka dari Sungai Naf ketika mereka mengapungkan diri dengan menggunakan bekas air plastik berhampiran Shah Porir Dwip.

“Mereka jelaskan sudah merancang untuk menyewa kapal untuk mengangkut keluarga, saudara dan ratusan Rohingya lain yang berkumpul di tebing sungai itu ke Bangladesh,” kata Abdul Jalil, merujuk kepada sebuah bandar pantai Bangladesh.

Naf memisahkan Bangladesh dan Myanmar barat, laluan sebahagian 520,000 Rohingya yang terpaksa meninggalkan rumah mereka sejak Ogos lalu apabila persengketaan etnik memuncak selain tindakan keras tentera.

Majoriti melintasi sempadan darat untuk ke Bangladesh tetapi ribuan lagi menggunakan jalan laut dan hampir 160 Rohingya sudah tenggelam dalam pelayaran berbahaya itu.

Dalam usaha membendung ketibaan pelarian baru, Bangladesh sudah mengambil tindakan dengan memusnahkan bot nelayan dan memenjarakan kapten bot yang dituduh menyeludup Rohingya melintasi sempadan.

Kebanjiran pelarian berkurangan beberapa minggu lalu, namun kini kembali rancak. Dianggarkan 11,000 pelarian baru tiba pada Isnin, kata jurucakap pegawai.

Agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata pada Selasa, pihaknya bekerjasama dengan pihak berkuasa Bangladesh untuk menubuhkan pusat transit sebagai persiapan kemasukan pelarian baru dari barat Rakhine, Myanmar.

Dalam perkembangan lain, pengawal sempadan Bangladesh menahan 19 pelarian Rohingya pada awal Rabu ketika menyeberang dari India di mana 40,000 hidup sebagai pelarian di sana.

Sejumlah 19 pelarian termasuk 10 kanak-kanak itu dipintas di daerah barat daya Bangladesh, Satkhira.

“Mereka cakap memasuki Bangladesh dengan bantuan broker,” kata Pengawal Perbatasan Bangladesh, Mosharraf Hossain.

New Delhi mahu mengusir 40,000 pelarian Rohingya di tanahnya dengan kerajaan negara itu memberitahu mahkamah tertinggi India bulan lalu bahawa pelarian itu menimbulkan ancaman keselamatan.

Baru-baru ini, Bangladesh pula mahu memulangkan ratusan ribu pelarian ke Myanmar yang tinggal di kem yang penuh sesak di wilayah tenggara.

Tetapi minoriti Muslim itu terbukti tanpa keraguan sering dikhianati terutama oleh Buddha Myanmar yang menganggap mereka sebagai pendatang tanpa izin. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 6:21 AM