Seramai 3,000 lagi pelarian Rohingya ditempatkan semula oleh Bangladesh ke pulau di Selat Bengal, menjadikan jumlah keseluruhan penghuni pulau itu lebih 10,000. FOTO AFP
Seramai 3,000 lagi pelarian Rohingya ditempatkan semula oleh Bangladesh ke pulau di Selat Bengal, menjadikan jumlah keseluruhan penghuni pulau itu lebih 10,000. FOTO AFP
AFP

Dhaka: Seramai 3,000 lagi pelarian Rohingya ditempatkan semula oleh Bangladesh ke pulau di Selat Bengal, menjadikan jumlah keseluruhan penghuni pulau itu lebih 10,000.

Dhaka membuat keputusan menempatkan semula 100,000 etnik berkenaan dari kem yang terletak di sempadan Bangladesh.

Kira-kira 2,000 pelarian dipindah ke Bhashan Char Isnin lalu dan 1,000 lagi pada Selasa, kata pegawai kanan tentera laut Bangladesh, Anwarul Kabir kepada AFP.

Ketibaan kumpulan itu dilakukan selepas sekitar 7,000 lelaki, wanita dan kanak-kanak dibawa pada Disember dan Januari ke pulau yang terletak kira-kira tiga jam perjalanan menggunakan bot dari Chittagong.

Timbalan Pesuruhjaya Pelarian Bangladesh, Mohammad Shamsud Douza berkata, etnik berkenaan berpindah ke pulau itu secara 'spontan dan sukarela'.

"Mereka turut membawa anjing, arnab dan kambing ke pulau itu," katanya.

Namun, aktivis hak asasi berkata, bukan semua pelarian itu mahu berpindah secara sukarela memandangkan pulau berkenaan berisiko berdepan banjir dan menjadi laluan taufan.

Beberapa bulan kebelakangan ini berlaku pertempuran antara kumpulan geng dadah Rohingya di kem pelarian Bangladesh tenggara - yang terbesar di dunia - dengan beberapa orang terbunuh dan beberapa yang lain dilaporkan cedera.

Pegawai mengatakan bahawa mereka berharap dapat memindahkan lebih banyak pelarian ke pulau itu menjelang musim taufan April-Mei dan monsun Jun-September, ketika laut bergelora.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengatakan ia tidak terbabit dalam penempatan semula itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2021 @ 9:26 PM