AP

Yangon: Puluhan mayat ditemui terdampat di pantai Rakhine, barat Myanmar, dalam tempoh sebulan ini.

Mereka dipercayai etnik Rohingya dan beberapa rakyat Bangladesh yang cuba melarikan diri dari kapal penyeludup.

Jurucakap Presiden, Ye Htut dan pegawai kanan lain tidak dapat dihubungi untuk mengulas perkara itu.

Ketua Menteri Rakhine Maung Maung Ohn enggan mengulas penemuan mayat berkenaan tetapi berkata pejabatnya kini menyiasat laporan itu.

Jurucakap Arakan Project, Chris Lewa berkata, kumpulannya memantau aktiviti di utara Rakhine sejak lebih sedekad lalu dan mendapati 47 mayat terdampar di pantai di situ antara 12 hingga 24 Mei lalu.

Lewa — yang memberikan perincian lokasi serta jumlah mayat ditemui - percaya mangsa maut ketika cuba berenang ke darat.

Pemimpin agama Ashu Dular dan penduduk di dua perkampungan yang dihubungi media mengesahkan maklumat itu dengan berkata, mereka menemui sekurang-kurangnya 18 mayat sepanjang tempoh itu.

Myanmar menafikan bertanggungjawab terhadap krisis pelarian yang melanda Asia Tenggara sejak awal Mei apabila lebih 4,600 pelarian yang terdesak dan kebuluran diselamatkan di lima negara selepas tindakan tegas diambil terhadap penyeludup manusia di Thailand, mengakibatkan pendatang itu ditinggalkan di tengah laut oleh kapten kapal masing-masing.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, separuh daripada mereka yang dibawa ke darat adalah etnik Rohingya beragama Islam yang melarikan diri daripada keganasan dan penindasan penganut Buddha di Myanmar.

Manakala selebihnya dari Bangladesh yang mencari kehidupan lebih baik.

Myanmar yang menafikan kewujudan etnik Rohingya mendakwa semua yang ditemui hanyut adalah warga Bangladesh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2015 @ 7:39 AM