Amazon Prime Video. FOTO Reuters/Francis Mascarenhas/File Photo Acquire Licensing Rights
Amazon Prime Video. FOTO Reuters/Francis Mascarenhas/File Photo Acquire Licensing Rights
Reuters

Washington: Amazon.com (AMZN.O) yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) akan memberhentikan lagi ratusan pekerja yang berkhidmat dalam operasi penstriman dan studio milik mereka.

Memo dalaman dikeluarkan syarikat itu pada Rabu lalu kesinambungan pemberhentian kerja besar-besaran sejak dua tahun lalu.

Kakitangan yang terjejas di Prime Video dan Amazon MGM Studios di AS menerima memo itu Rabu lalu manakala wilayah lain dijangka hujung minggu ini.

Firma gergasi e-dagang itu tahun lalu membuang lebih 27,000 pekerjaan sebagai sebahagian daripada gelombang pemberhentian teknologi AS.

"Kami mengenal pasti peluang untuk mengurangkan atau menghentikan pelaburan dalam bidang tertentu sambil meningkatkan pelaburan kami dan menumpukan pada kandungan dan inisiatif produk yang memberikan impak paling besar," maklum Naib Presiden Kanan Prime Video dan Amazon MGM Studios, Mike Hopkins dalam memo itu.

Amazon baru-baru ini menghentikan beberapa pekerjaan di bahagian pembantu suara Alexa syarikat itu manakala Microsoft (MSFT.O) mengeluarkan beberapa kakitangan di rangkaian profesional LinkedIn.

Perkhidmatan Twitch Amazon pula memberhentikan 500 pekerja atau kira-kira 35 peratus daripada tenaga kerjanya, menurut laporan media Selasa lalu.

Sahamnya, yang melonjak lebih 80 peratus tahun lalu, naik 1.5 peratus dalam dagangan.

Syarikat itu membelanjakan secara agresif dalam beberapa tahun kebelakangan ini untuk meningkatkan perniagaan medianya termasuk perjanjian AS$8.5 bilion (RM39.47 bilion) untuk MGM dan AS$465 juta (RM2.2 bilion) pada musim pertama The Lord of the Rings: The Rings of Power di Prime Video pada 2022.

Ia juga bakal melancarkan iklan di Prime Video serta peringkat langganan bebas iklan yang lebih mahal di sesetengah pasaran

sama dengan pergerakan saingan Netflix NFLX.O dan Walt Disney DIS.N.

Selepas pemberhentian kerja secara meluas pada 2022 dan 2023, banyak syarikat kini menyasarkan projek dan bahagian terpilih kerana mereka mengutamakan semula sumber mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2024 @ 12:07 PM