PENGGUNAAN haiwan hidup di set penggambaran dikecam selepas seekor kuda mati ketika penggambaran siri televisyen Amazon The Lord of The Rings: The Rings of Power. FOTO Agensi.
PENGGUNAAN haiwan hidup di set penggambaran dikecam selepas seekor kuda mati ketika penggambaran siri televisyen Amazon The Lord of The Rings: The Rings of Power. FOTO Agensi.
Agensi

London: Kumpulan hak asasi haiwan, Peta mengecam penggunaan haiwan hidup di set penggambaran selepas seekor kuda mati ketika penggambaran siri televisyen Amazon The Lord of The Rings: The Rings of Power.

Portal The Telegraph melaporkan, kuda itu mengalami serangan jantung pada 21 Mac lalu.

"Kami sangat sedih untuk mengesahkan seekor kuda mati ketika penggambaran dijalankan.

"Kejadian itu berlaku pada waktu pagi ketika kuda itu sedang bersenam sebelum latihan.

"Haiwan itu tidak memakai kostum dan penggambaran masih belum dimulakan. Kedua-dua doktor haiwan dan wakil Persatuan Kemanusiaan Amerika hadir ketika itu. Siasatan bebas mengesahkan kuda itu mati akibat kegagalan jantung," kata jurucakap Amazon Studios.

Kuda itu berdiri berhampiran 20 kuda lain apabila jantungnya terhenti, sumber memberitahu Deadline.

Lebih 30 ekor kuda dilaporkan digunakan untuk penggambaran pada hari berkenaan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas berita itu tersebar, Peta berkata, rancangan itu 'mengeksploitasi haiwan' dan meminta penerbitan filem dan televisyen menggunakan elemen kesan khas imej janaan komputer (CGI) sebagai pengganti haiwan sebenar.

"Pengeluar drama The Rings of Power sepatutnya mempunyai pilihan untuk menggunakan CGI, pelantar mekanikal dan kaedah berperikemanusiaan lain.

"Peta menyeru pencipta rancangan dan semua penerbit lain untuk melakukan pencarian baharu tanpa menggunakan kuda sebenar," kata Naib Presiden Kanan Peta, Lisa Lange.

Semua kuda yang digunakan dalam musim kedua The Rings of Power disediakan oleh Devil's Horsemen, pembekal kuda dan orang lagak ngeri dalam industri filem.

Syarikat itu bekerja dengan siri terkenal termasuk Game of Thrones dan The Crown, serta produksi Hollywood seperti Justice League dan Transformers.

Pada 2012 pengarah Peter Jackson turut dikritik kerana pengeluaran siri The Hobbit: An Unexpected Journey menyebabkan tiga kuda serta haiwan ternakan lain mati ketika penggambaran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2023 @ 10:32 AM