ELON Musk. FOTO AP
ELON Musk. FOTO AP
BERNAMA

Washington: Jutawan teknologi, Elon Musk mendahului senarai 400 orang terkaya Amerika Syarikat dalam Forbes.

Majalah itu menganggarkan nilai kekayaan Musk lebih AS$251 bilion (RM1,159.12 bilion), jauh melebihi pemegang tempat kedua, pengasas Amazon, Jeff Bezos.

Kekayaan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Amazon itu bernilai kira-kira AS$151 bilion (RM697.32 bilion), lapor Agensi Anadolu.

Kekayaan Musk adalah AS$60.5 bilion (RM279.39 bilion) lebih daripada yang dimilikinya pada 2021 ketika dunia mula bangkit daripada Covid-19.

Ini rekod baharu untuk senarai Forbes.

Sebahagian besar kekayaan Musk datang daripada pengeluaran kereta Tesla, syarikat yang diasaskan bersama dan masih beroperasi.

Musk memiliki kira-kira satu perempat saham daripada syarikat itu dan sebahagian besar daripada nilai keuntungan yang lain boleh dikaitkan dengan syarikat penerokaan angkasa lepas SpaceX.

Ia meningkat empat kali ganda dalam tiga tahun lalu.

Nilai bersih kekayaan Musk mencecah paras AS$300 bilion (RM1,385.40 bilion) dua kali sepanjang tahun lalu, sebahagian besarnya disebabkan oleh turun naik harga saham Tesla.

Bezos pula kini memiliki sedikit saham di bawah 10 peratus di Amazon.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2022 @ 1:26 PM