PEJABAT Amazon di New York. FOTO EPA
PEJABAT Amazon di New York. FOTO EPA
AFP

New York: Amazon sedang bersiap sedia untuk membuang kira-kira 10,000 pekerja.

The New York Times melaporkan, langkah itu menjadikan syarikat e-dagang sebagai gergasi teknologi terbaharu yang melancarkan pelan pemberhentian pekerja berskala besar.

Ia membabitkan kurang daripada satu peratus daripada jumlah tenaga kerja kumpulan itu yang mempunyai 1.54 juta pekerja di seluruh dunia setakat penghujung September, tidak termasuk pekerja bermusim yang diambil semasa tempoh peningkatan aktiviti seperti cuti Krismas.

The New York Times melaporkan, jawatan yang terjejas adalah di jabatan peranti, bahagian runcit dan sumber manusia, namun pengagihan mengikut negara tidak diperincikan.

Laporan itu mengatakan, jumlah pekerja yang diberhentikan boleh berubah, tetapi jika disahkan, ia akan menjadi pusingan pemecatan terbesar dalam sejarah syarikat berusia 28 tahun yang diasaskan Jeff Bezos itu.

Pemberhentian itu akan berlaku selepas pengambilan pekerja yang agresif.

Dengan perniagaan yang berkembang pesat akibat pandemik Covid-19, apabila orang ramai beralih kepada beli-belah dalam talian, Amazon menggandakan tenaga kerjanya daripada suku pertama 2020 kepada 1.62 juta pekerja dua tahun kemudian.

Tetapi dengan ekonomi yang merosot, dua minggu lalu, Amazon mengumumkan pembekuan pengambilan pekerja dan tenaga kerjanya sudah berkurangan berbanding awal tahun ini.

Usaha AFP mendapatkan maklum balas Amazon tidak berjaya apabila syarikat itu masih belum bersedia mengulas lanjut laporan itu.

Minggu lalu, Meta, syarikat induk Facebook, mengumumkan mereka mengurangkan 11,000 pekerjaan atau kira-kira 13 peratus daripada tenaga kerjanya.

Syarikat pembayaran dalam talian Stripe dan aplikasi panggilan kereta Lyft juga baru-baru ini melaporkan pemberhentian pekerja yang besar.

Twitter yang baru dimiliki Elon Musk, awal bulan ini memecat kira-kira separuh daripada 7,500 pekerjanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2022 @ 10:48 AM