Reaksi yang ditunjukkan orang ramai selepas mendengar keputusan mahkamah terhadap Derek Chauvin. Foto AFP
Reaksi yang ditunjukkan orang ramai selepas mendengar keputusan mahkamah terhadap Derek Chauvin. Foto AFP
AFP

Minneapolis: Bekas anggota polis, Derek Chauvin dihukum penjara selama 22 tahun setengah atas kesalahan membunuh lelaki berkulit hitam, George Floyd pada Mei 2020.

Chauvin, 45, sempat mengucapkan takziah tanpa meminta maaf kepada keluarga Floyd, 46, di mahkamah di sini, sebelum Hakim Peter Cahill menjatuhkan hukuman penjara kurang 30 tahun yang dimohon oleh pihak pendakwa raya.

"Ini (hukuman penjara) adalah berdasarkan tindakan anda menyalahgunakan kedudukan kepercayaan dan kuasa serta kekejaman khusus ditunjukkan terhadap George Floyd," kata Cahill.

Tertuduh berkulit putih itu dilihat tidak menunjukkan sebarang perasaan ketika mendengar keputusan hakim bagi kes berkenaan yang mencetuskan demonstrasi besar-besaran bagi menuntut keadilan kaum di Amerika Syarikat (AS).

Chauvin yang memakai sut berwarna kelabu muda hanya berkata ringkas, selepas enggan memberi keterangan ketika perbicaraan selama enam minggu itu.

"Saya mahu mengucapkan takziah kepada keluarga Floyd. Buat masa ini, atas sebab terdapat beberapa perkara tambahan berkait undang-undang yang sedang dihadapi, saya tidak dapat memberikan kenyataan rasmi yang penuh.

"Beberapa maklumat lain yang menarik bakal muncul pada masa depan dan saya berharap anda akan mengecapi ketenangan fikiran," katanya.

Terdahulu, mahkamah menyaksikan rakaman mesej menyentuh hati oleh anak perempuan Floyd berusia tujuh tahun yang menzahirkan perasaan rindu dan sayang kepada bapanya.

Mahkamah turut mendengar luahan ibu tertuduh, Carolyn Pawlenty yang menyifatkan anaknya itu sebagai 'lelaki baik' dan percaya bahawa Chauvin tidak bersalah.

Sementara itu, Presiden AS Joe Biden pula menyifatkan keputusan mahkamah berkenaan sebagai wajar.

"Saya tidak mengetahui kesemua perkara yang diambil kira dalam pertimbangan. Namun pada pandangan saya, mengikut garis panduan, ia dilihat sebagai wajar," katanya.

Peguam keluarga Floyd pula menyifatkan keputusan mahkamah itu sebagai langkah 'bersejarah' ke arah perdamaian kaum di AS.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 10:24 AM