Kematian George Floyd terbela. FOTO AFP
Kematian George Floyd terbela. FOTO AFP
AFP

Minneapolis: Ketika juri mendapati bekas polis Derek Chauvin bersalah dalam kes kematian lelaki berkulit hitam, George Floyd, orang awam yang berkumpul di depan bangunan mahkamah di sini bersorak kegembiraan.

Lebih 200 orang berkumpul untuk mengikuti secara dekat perkembangan perbicaraan kes yang menggemparkan Amerika Syarikat (AS) itu yang pernah mencetuskan demonstrasi di seluruh negara dan ibu kota utama dunia.

"Bersalah atas tiga tuduhan," kata seorang individu menerusi pembesar suara, dan orang ramai mula menangis.

"Hari ini, kita meraikan keadilan untuk bandar kita," katanya.

"Saya tak mempercayainya...(Chauvin) bersalah," kata seorang lelaki bernama Lavid Mack, 28, yang berdiri di atas blok konkrit untuk mengikuti perbicaraan itu dengan lebih dekat.

Seorang wanita di dalam kumpulan berkenaan pula terlalu beremosi untuk berkata-kata sehingga hanya mampu mendakap lengan rakannya.

Seorang wanita lain pula menyatakan amat lega: "Sekarang kita akhirnya boleh bernafas," kata Amber Young.

Jalan di bangunan mahkamah ditutup untuk lalu lintas dan beberapa kenderaan yang diarah berpatah balik membunyikan hon sebagai tanda sokongan kepada kumpulan berkenaan.

Dalam pada itu, BERNAMA melaporkan Chauvin didapati bersalah atas dua tuduhan membunuh dan satu tuduhan menyebabkan kematian Floyd.

Ia dibacakan oleh Hakim Peter Cahill selepas 12 juri membuat keputusan yang mengambil masa 10 jam.

Chauvin, yang mendengar keputusan itu pada prosiding yang berlangsung di mahkamah kemudian dibawa ke Pejabat Syerif Hennepin County, lapor agensi berita Xinhua.

Juri mendapati bahawa Chauvin bersalah atas pembunuhan tahap kedua, pembunuhan tahap ketiga dan menyebabkan kematian.

Chauvin dijangka berdepan dengan hukuman penjara 12 tahun enam bulan untuk pertuduhan pembunuhan tahap kedua, 12 tahun enam bulan untuk pembunuhan tahap ketiga, dan empat tahun bagi tuduhan menyebabkan kematian, menurut garis panduan hukuman Minnesota.

Memandangkan Chauvin tidak mempunyai rekod kesalahan lampau, dia mungkin tidak akan dikenakan hukuman maksimum untuk setiap tiga pertuduhan, iaitu 40 tahun untuk pertuduhan pembunuhan tahap kedua, 25 tahun untuk pembunuhan tahap ketiga, dan 10 tahun untuk menyebabkan kematian.

Pendakwa raya, bagaimanapun, akan meminta hukuman lebih berat.

Cahill berkata, beliau akan menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh lapan minggu dari tarikh sekarang.

Pada 25 Mei tahun lalu, Floyd meninggal dunia selepas lehernya ditekan dengan lutut oleh seorang polis selama hampir sembilan minit.

Rakaman insiden itu mencetuskan gelombang tunjuk perasaan 'Black Lives Matter' atas apa yang disifatkan kekejaman polis dan ketidakadilan kaum.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 6:30 AM