IMEJ daripada kamera badan seorang anggota polis menunjukkan insiden berkenaan. FOTO Agensi
IMEJ daripada kamera badan seorang anggota polis menunjukkan insiden berkenaan. FOTO Agensi
AFP

Minneapolis: Perintah berkurung dilaksanakan di Minneapolis mulai Isnin selepas huru-hara susulan insiden seorang anggota polis wanita menembak mati seorang lelaki berkulit hitam.

Ia selepas polis berkenaan terkeliru antara pistol dan taser gun (senjata renjat).

Kejadian itu menyebabkan kekecohan di bandar yang kini menjadi tumpuan ketika perbicaraan kes bunuh lelaki berkulit hitam, George Floyd.

Menerusi kamera badan disiarkan oleh Brooklyn Center iaitu lokasi kejadian, anggota polis itu menjerit "Taser! Taser! Taser!" tetapi melepaskan tembakan dengan pistol terhadap mangsa, Daunte Wright, 20-an.

"Anggota polis itu mengacukan pistol dan bukannya taser gun," kata Ketua Polis Brooklyn Center, Tim Gannon dalam satu sidang media.

Gannon berkata, anggota polis itu yang kini diarah bercuti sementara menunggu siasatan kes itu, 'mahu mengacukan taser gun tetapi menembak Wright dengan satu peluru'.

"Tindakan melepaskan tembakan secara tidak sengaja itu menyebabkan kematian Wright," kata Gannon.

Susulan kejadian, protes berlaku di Brooklyn Center dan menyebabkan kecurian di kompleks beli-belah.

Pihak berkuasa di Minneapolis dan kawasan pinggir bandar sekitarnya menjalani perintah berkurung bermula 7 malam Isnin hingga 6 pagi Selasa.

Dalam pada itu, acara sukan termasuk bola keranjang, besbol dan hoki ais di Minnesota turut ditangguhkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 9:52 AM