POLIS mengawal keadaan berhampiran White House. FOTO AFP
POLIS mengawal keadaan berhampiran White House. FOTO AFP
AFP

Minneapolis: Ibu negara Amerika Syarikat (AS) Washington dan beberapa bandar utama di negara itu kini dikenakan perintah berkurung.

Ia susulan rusuhan oleh kumpulan penunjuk perasaan yang membantah keganasan kaum susulan kematian lelaki kulit hitam, George Floyd.

Pada Isnin lalu, kematian Floyd, 46, mencetuskan kemarahan apabila seorang pegawai polis kulit putih, Derek Chauvin bertindak di luar batas kemanusiaan ketika menahan mangsa.

Rakaman video menunjukkan Chauvin menekan lututnya di leher mangsa walaupun Floyd berulang kali mengatakan dia tidak boleh bernafas.

Kejadian itu mencetuskan rusuhan hampir di seluruh Amerika Syarikat.

Perintah berkurung kini dikuatkuasakan di Washington, Los Angeles, Houston dan Minneapolis.

Pengawal kebangsaan sudah dihantar ke bandar terbabit bagi menyuraikan perusuh.

Selain itu, rusuhan turut berlaku di New York, Miami dan Washington.

Dalam pada itu, polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan perusuh yang berhimpun di sebuah taman berhampiran White House, pada malam Ahad.

Ia selepas Presiden AS Donald Trump melabelkan individu yang terbabit dalam rusuhan berkenaan sebagai 'pengganas tempatan'.

Satu laporan mendakwa agen Perkhidmatan Rahsia AS terpaksa menyembunyikan Trump di kubu bawah tanah di White House selepas satu rusuhan tercetus di lokasi berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 12:05 PM