DEREK Chauvin. FOTO AFP
DEREK Chauvin. FOTO AFP
AFP

Washington: Bekas pegawai polis Amerika Syarikat (AS) Derek Chauvin yang membunuh George Floyd, hingga mencetuskan protes besar-besaran pada 2020, ditikam dalam penjara, pada Jumaat lalu.

Biro Penjara Persekutuan AS mengesahkan serangan itu tanpa menamakan individu yang cedera.

"Seorang individu yang dipenjarakan diserang di Institusi Koreksional Persekutuan (FCI) Tucson, di negeri barat daya Arizona.

"Pekerja yang bertindak balas memulakan langkah menyelamatkan nyawa seorang individu yang dipenjarakan," kata kenyataan itu.

Menerusi kenyataan sama, individu yang cedera itu dihantar ke hospital tempatan untuk rawatan dan penilaian lanjut.

Menurut sumber seperti dilaporkan, Chauvin terselamat daripada serangan itu.

Chauvin didapati bersalah atas pembunuhan tahap dua dan ketiga pada 2021, dan dijatuhi hukuman penjara 22 tahun enam bulan.

Insiden itu dirakam dalam video sekali gus memberikan versi peristiwa yang berbeza secara drastik daripada siaran berita polis yang hanya menyatakan pegawai dapat menahan suspek.

Siasatan Jabatan Kehakiman terhadap polis Minneapolis, yang penemuannya diterbitkan pada Jun 2023, mengatakan bahawa pegawai di jabatan itu secara rutin menggunakan amalan ganas dan perkauman termasuk kekerasan yang tidak wajar.

Bandar Minneapolis, di negeri barat tengah Minnesota, juga menyelesaikan tuntutan kematian salah yang difailkan oleh keluarga Floyd, bersetuju untuk membayar saudara-mara mangsa, AS$27 juta (kira-kira RM126 juta).

Chauvin merayu sabitan pembunuhan tahap kedua, yang ditolak oleh Mahkamah Agung AS, awal bulan ini.

Peguam Chauvin Eric Nelson berkata, anak guamnya menunjukkan sikap tenang dan profesional dalam interaksinya dengan Floyd.

Namun, pihak pendakwaan berjaya berhujah bahawa Chauvin menggunakan kekerasan yang berlebihan bukan sahaja dengan Floyd, tetapi dengan orang lain yang ditangkapnya semasa kerjayanya selama 19 tahun dalam pasukan polis.

Sebelum perbicaraan, pihak pendakwaan membongkar beberapa contoh modus operandi Chauvin termasuk kes Zoya Code, seorang wanita kulit hitam muda yang ditangkap oleh Chauvin pada 2017.

"Walaupun wanita itu tidak menentang secara fizikal dalam apa cara sekalipun, Chauvin melutut di atas badannya...," kata pihak pendakwaan.

Insiden berkenaan membawa kepada protes besar-besaran di AS dan banyak negara lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2023 @ 10:32 AM