IPO Aramco yang menjadi elemen utama dalam rancangan memodenkan ekonomi Arab Saudi.
IPO Aramco yang menjadi elemen utama dalam rancangan memodenkan ekonomi Arab Saudi.
Agensi

Riyadh: Tawaran penyenaraian awam saham syarikat minyak Arab Saudi, Aramco menerima lebihan langganan 1.7 kali bernilai $44.3 bilion (RM185 bilion) daripada pelabur runcit dan pertubuhan, lebihan AS$19.3 bilion (RM80.6 bilion) berbanding sasaran AS$25 bilion (RM104.4 bilion).

Menurut laporan Bloomberg, selepas bidaan langganan ditutup pada tengah malam 29 November lalu, 4.9 juta orang memohon membeli saham berkenaan dengan nilai RM52.8 bilion.

Pelabur pertubuhan mempunyai masa sehingga Rabu ini untuk menghantar bidaan dan setakat ini tawaran yang diterima sudah bernilai RM132.4 bilion dengan 10.5 peratus daripada pelabur di luar Arab Saudi.

Kerajaan negara itu merancang meraih lebih AS$25 bilion dengan menjual 1.5 peratus saham dalam syarikat yang dianggarkan bernilai antara AS$1.6 trilion (RM6.7 trilion) dan $1.7 trilion (RM7.1 trilion) itu.

Daripada jumlah itu, 1.0 peratus dikhaskan untuk pertubuhan manakala selebihnya untuk pelabur runcit. Kerajaan menyediakan kemudahan pinjaman bank luar biasa untuk pembelian saham Aramco.

Lebihan langganan Aramco itu dianggap tidak memberangsangkan berbanding IPO lain, seperti bidaan untuk National Commercial Bank pada 2014 mencatat lebihan langganan 23 kali.

Pada 2016, kira-kira 10 juta penduduk rakyat Arab Saudi, kira-kira separuh daripada penduduk dewasa memohon membeli saham syarikat hartanah terbesar Asia Barat, Emaar Properties PJSC.

IPO Aramco yang menjadi elemen utama dalam rancangan memodenkan ekonomi Arab Saudi oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman, kini bergantung kepada pelabur dalam negara selepas pelabur antarabangsa meragui nilainya.

Ramai keluarga kaya Arab Saudi diarah membeli saham berkenaan, termasuk mereka yang pernah ditahan Hotel Ritz-Carlton , Riyadh, pada 2017.

Abu Dhabi merancang membelanjakan sehingga AS$1.5 billon (RM6.3 bilion) bagi membeli saham itu manakala Pihak Berkuasa Pelaburan Kuwait sedang membuat pertimbangan menjelang tarikh akhir 4 Disember.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Disember 2019 @ 10:50 AM