KEMUDAHAN minyak Saudi Aramco di Abqaiq, Arab Saudi. FOTO Reuters
KEMUDAHAN minyak Saudi Aramco di Abqaiq, Arab Saudi. FOTO Reuters
BERNAMA

Riyadh: Syarikat minyak Saudi Aramco, milik kerajaan Arab Saudi, pada Khamis mengatasi firma teknologi Amerika Syarikat, Apple, untuk menjadi syarikat paling bernilai di dunia, lapor Agensi Anadolu.

Harga saham Saudi Aramco ditutup pada 44.70 Riyal Saudi (AS$11.92) sesaham di bursa saham negara itu Tadawul untuk permodalan pasaran 8.94 trilion Riyal Saudi (AS$2.38 trilion).

Harga saham Apple berada pada AS$146.07 sesaham pada indeks Nasdaq AS pada 11.10 pagi EDT untuk nilai pasaran AS$2.36 trilion.

Ini julung kalinya nilai pasaran Saudi Aramco mengatasi Apple sejak 2020.

Menurut angka rasmi, sejak awal tahun ini, Apple menyaksikan penurunan harga sahamnya kira-kira 20 peratus, manakala saham Aramco melonjak hampir 28 peratus.

Ketika Apple bergelut dengan rantaian bekalan yang meruncing, krisis cip dan inflasi pengguna yang meningkat, Saudi Aramco mendapat manfaat daripada kenaikan harga minyak mentah.

Harga minyak mentah Brent yang menjadi penanda aras antarabangsa melonjak kepada AS$139 setong pada Mac, paras tertinggi sejak 2008.

Permintaan minyak global yang meningkat dengan pantas melebihi bekalan minyak mentah dalam tempoh selepas pandemik memainkan peranan penting dalam kenaikan harga minyak.

Selain itu, perang Rusia-Ukraine yang mengancam bekalan minyak mentah yang selamat ke Eropah mendorong harga yang lebih tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mei 2022 @ 3:38 PM