LOJI penapis dan terminal minyak  milik Saudi Aramco di Ras Tanura, Arab Saudi. FOTO Reuters
LOJI penapis dan terminal minyak milik Saudi Aramco di Ras Tanura, Arab Saudi. FOTO Reuters
Agensi

RIYADH: Saudi Aramco, syarikat paling untung di dunia mula menawarkan saham terbitan awam (IPO) dalam usaha Arab Saudi mengurangkan kebergantungan kepada hasil minyak yang dijangka meraih sehingga AS$40 bilion (RM1.66 trilion).

Syarikat minyak milik negara itu memproses 10 peratus minyak dunia akan disenaraikan di pasaran saham tempatan, Bursa Saham Tadawul di Riyadh beberapa minggu lagi, selepas proses IPO bermula kelmarin.

Namun, tarikh sebenar penyenaraian dan harga ditawarkan masih belum diumumkan tetapi pakar menjangka ia akan menjadi penyenaraian terbesar dunia.

Menurut Reuters, melalui penawaran antara satu hingga dua peratus saham, Aramco dijangka meraih sehingga RM1.66 trilion mengatasi rekod AS$25 bilion (RM1.03 trilion) sebelum ini ketika penyenaraian Alibaba pada 2014.

Semua keuntungan akan disalurkan kepada dana negara dalam usaha Putera Mahkota Mohammed bin Salman membawa pembaharuan mempelbagai ekonomi selain minyak.

Industri bukan tenaga kini menjadi agenda Arab Saudi, termasuk pelancongan melalui syarat baru visa yang dimulakan September lalu.

Putera Mohammed mendakwa nilai Aramco beberapa tahun lalu, adalah AS$2 trilion (RM8.3 trilion) namun menurut laporan Bloomberg nilai syarikat itu kira-kira AS$1.5 trilion (RM6.2 trilion) manakala Goldman Sachs, antara bank menguruskan IPO meletakkan nilai syarikat berkenaan antara AS$1.6 trilion (RM6.6 trilion) dan AS$2.3 trilion (RM9.6 trilion).

Menurut Pentadbiran Maklumat Tenaga, Arab Saudi memiliki simpanan minyak dunia kedua terbesar selepas Venezuela.

BBC melaporkan, pada 1933, Arab Saudi dan Standard Oil Company dari California (kemudian dikenali sebagai Chevron) memeterai perjanjian menubuhkan syarikat baru untuk cari gali. Pada 1970-an, Arab Saudi membeli keseluruhan syarikat itu.

Tahun lalu, keuntungan bersih Aramco ialah AS$111.1 bilion (RM461.3 bilion), mengatasi gabungan keuntungan Apple, Google dan Exxon Mobil.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 7:13 AM