RIBUAN penunjuk perasaan menyerbu Konsulat Iran di Karbala, semalam, melempar batu serta membakar tayar membantah campur tangan Teheran dalam politik Iraq. FOTO Reuters
RIBUAN penunjuk perasaan menyerbu Konsulat Iran di Karbala, semalam, melempar batu serta membakar tayar membantah campur tangan Teheran dalam politik Iraq. FOTO Reuters
Agensi

BAGHDAD: Sekurang-kurangnya empat penunjuk perasaan terbunuh selepas pasukan keselamatan Iraq melepaskan tembakan ke arah orang ramai yang menyerbu Konsulat Iran di bandar suci Syiah, Karbala, semalam.

Sekurang-kurangnya 19 cedera dengan Reuters melaporkan termasuk enam anggota pasukan keselamatan.

Menurut saksi, penunjuk perasaan memanjat tembok konsulat itu dan mengibarkan bendera Iraq serta menulis menggunakan cat “Karbala bebas, keluar Iran, keluar!” menunjukkan kemarahan penduduk Iraq yang membantah campur tangan Teheran dalam politik negara itu.

Anggota keselamatan melepaskan tembakan amaran ke udara bagi menyuraikan penunjuk perasaan yang melempar batu dan membakar tayar di sekitar bangunan konsulat.

Apabila jumlah penunjuk perasaan bertambah ramai, semakin banyak tembakan kedengaran selain tembakan gas pemedih mata.

“Mereka tidak menembak ke udara. Mereka mahu membunuh, bukan menyuraikan,” kata seorang penunjuk perasaan kepada AFP.

Iraq, terutama Baghdad dicengkam tunjuk perasaan anti-kerajaan, membantah kadar pengangguran tinggi dan kenaikan kos sara hidup serta menuduh kerajaan rasuah. Namun, tunjuk perasaan terbaru juga menuntut pembaharuan sistem politik yang dibentuk selepas pencerobohan Amerika Syarikat pada 2003.

Rakyat menyasar pemimpin elit yang didakwa mencuri kekayaan minyak negara itu, membiarkan rakyat kekal miskin.

Mereka juga melepaskan kemarahan terhadap Iran yang berpengaruh dalam kerajaan Iraq serta campur tangan militia Syiah sokongan Iran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 7:06 AM