PENUNJUK perasaan Iraq membakar konsulat Iran. FOTO/REUTERS
PENUNJUK perasaan Iraq membakar konsulat Iran. FOTO/REUTERS
AFP

BASRA: Penunjuk perasaan Iraq membakar konsulat Iran di selatan bandar ini dalam satu rusuhan akibat rasa tidak puas hati rakyat terhadap perkhidmatan awam yang lemah.

Parlimen segera memanggil mesyuarat kecemasan susulan bantahan itu.

Penyerang yang tidak dikenali turut melepaskan tembakan ke arah Zon Hijau Baghdad dalam satu serangan yang jarang berlaku di kawasan yang menempatkan parlimen, pejabat kerajaan dan kedutaan Amerika Syarikat. Tiada korban dilaporkan setakat ini.

Tunjuk perasan mula memuncak di Basra sejak Selasa, apabila perusuh mula membakar bangunan kerajaan serta pejabat parti politik dan militia.

Difahamkan kemarahan rakyat itu ada kaitan dengan insiden membabitkan 30,000 orang yang dimasukkan ke hospital akibat minum air tercemar.

Sekurang-kurangnya sembilan penunjuk perasaan terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan sejak ia mula tercetus, kata ketua dewan hak asasi Basra, Mehdi al-Tamimi,.

Perdana Menteri, Haider al-Abadi berkata lewat semalam, beliau sudah mengarahkan pasukan keselamatan untuk bertindak tegas terhadap perbuatan vandalisma ketika demonstrasi.

Pasukan Operasi Bersama Iraq, termasuk tentera dan polis, berkata dalam satu kenyataan, tindak balas serius akan diambil selain langkah keselamatan yang luar biasa, termasuk melarang tunjuk perasaan dan lawatan secara berkumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 September 2018 @ 6:02 PM