PERTEMPURAN yang mengorbankan 20 individu  , selepas Sadr mengumumkan berhenti daripada arena politik. FOTO Reuters
PERTEMPURAN yang mengorbankan 20 individu , selepas Sadr mengumumkan berhenti daripada arena politik. FOTO Reuters
Reuters

Baghdad: Pertempuran hebat meletus di Baghdad, mengorbankan hampir 20 orang pada Isnin, selepas ulama Syiah, Moqtada al-Sadr mengumumkan berhenti daripada arena politik, mendorong penyokong setianya menyerbu istana kerajaan.

Menjelang malam, pertempuran dengan kumpulan pesaing itu menyaksikan tembakan mesingan dan letupan tercetus di kawasan Zon Hijau yang menempatkan ibu pejabat kerajaan dan kedutaan asing.

Ia pertempuran terburuk yang pernah berlaku di ibu kota Iraq itu sejak beberapa tahun lalu susulan pengumuman Sadr menarik diri daripada semua aktiviti politik, keputusan yang menurutnya sebagai tindak balas kepada kegagalan pemimpin serta parti Syiah lain melakukan reformasi sistem pemerintahan yang rasuah dan lemah.

Sadr kemudiannya memaklumkan mengadakan mogok lapar sebagai protes terhadap penggunaan senjata oleh semua pihak.

Kebuntuan politik antara Sadr dan seteru Islam Syiah yang kebanyakannya disokong Iran meningkatkan keganasan di negara yang masih bergelut untuk pulih daripada peperangan selama berdekad-dekad, sekatan, persengketaan awam dan rasuah.

Keganasan terbaharu membabitkan penyokong Sadr, termasuk tentera bersenjata, menentang pasukan separa tentera yang bersekutu dengan Iran dan pasukan keselamatan.

Kemenangan Sadr pada pilihan raya Oktober lalu, dilihat percubaannya membentuk kerajaan bebas daripada kumpulan disokong Iran dan akhirnya menarik diri daripada parlimen sehingga mencetuskan keganasan baharu pada Isnin.

Pegawai keselamatan berkata, pertempuran membabitkan pejuang Briged Keamanan Sadr dengan anggota pasukan keselamatan Iraq yang ditugaskan melindungi Zon Hijau, namun anggota yang bersekutu dengan Iran juga berkemungkinan terbabit.

Pertempuran berlaku antara pemuda yang setia kepada Sadr dan penyokong tentera pro-Iran, yang membaling batu antara satu sama lain berhampiran Zon Hijau, sebelum pertempuran bersenjata pada sebelah malam.

Sekurang-kurangnya 17 terbunuh dan ramai lagi cedera, kata polis dan pekerja perubatan.

Tentera Iraq mengisytiharkan perintah berkurung di seluruh negara dan menggesa penunjuk perasaan meninggalkan Zon Hijau.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2022 @ 2:20 PM