PENUNJUK perasaan berhimpun di sebuah bangunan di Baghdad, Iraq. FOTO: Reuters
PENUNJUK perasaan berhimpun di sebuah bangunan di Baghdad, Iraq. FOTO: Reuters
Reuters

BAGHDAD: Sekurang-kurangnya 67 terbunuh dan beratus-ratus lagi cedera dalam tempoh dua hari selepas tunjuk perasaan yang membantah kerajaan Perdana Menteri Adel Abdul Mahdi bertempur dengan pasukan keselamatan.

Bagi menghalang keadaan penunjuk perasaan menjadi lebih teruk, Adel pada malam Sabtu lalu mengarahkan anggota Perkhidmatan Antipengganas (CTS) ditempatkan di jalan raya di Baghdad dan bandar Nasiriya di selatan.

Sumber keselamatan memberitahu Reuters, anggota elit berkenaan diarahkan menggunakan semua cara yang perlu untuk menamatkan bantahan.

Ribuan penunjuk perasaan berhimpun di Baghdad dan bandar lain bagi membantah kerajaan yang gagal meningkatkan kualiti hidup rakyat serta ekonomi negara.

Empat terbunuh apabila kepala mereka terkena tabung gas pemedih mata yang ditembak pasukan keselamatan.

Di Nasiriya, empat penunjuk perasaan ditembak mati selepas menyerbu sebuah rumah pegawai keselamatan tempatan dan cuba membakar kediaman itu.

Tujuh terbunuh di Hilla, apabila kumpulan bersenjata yang disokong Iran, Organisasi Badr melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan yang berhimpun berhampiran pejabat mereka.

Pada Jumaat, sekurang-kurangnya 52 terbunuh dalam keganasan di seluruh negara dan lebih 2,000 lagi cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Oktober 2019 @ 11:31 AM