BILLY Crutsinger
BILLY Crutsinger
Reuters

TEXAS: Seorang lelaki yang disabitkan kesalahan membunuh seorang wanita dan anak perempuannya di rumah mereka, menjalani hukuman suntikan mati di sini, hari ini.

Billy Crutsinger, 64, dijatuhi hukuman pada 2003 selepas disabitkan membunuh Pearl Magouirk, 89, dan anak perempuannya, Patricia Syren, 71, pada awal tahun berkenaan. Dia diarah menjalani hukumannya di penjara di Huntsville.

Crutsinger didakwa memecah masuk rumah mangsa pada 6 April 2003 dan mengelar leher serta menikam mereka beberapa kali. Dia turut mencuri kad kredit dan kereta Cadillac Patricia, menurut pendakwa raya.

Polis menahan Crutsinger di Galveston iaitu lokasi terakhir dia menggunakan kad kredit curi itu dengan berhibur di bar, kata dokumen pengadilan.

Polis turut menemui bukti yang mengaitkan kejadian itu kepadanya.

Crutsinger adalah banduan kelima di Texas dan ke-14 di Amerika Syarikat yang dihukum mati tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 8:48 PM