Intan Mas Ayu Shahimi


HAMIL kali pertama, kedua, ketiga atau berapa banyak sekalipun, golongan ibu tidak dapat lari daripada rutin yang satu ini. Biarpun ada yang menganggap kewajipan menanda kotak kecil dalam Rekod Kesihatan Ibu ini sebagai kerja leceh, majoritinya akur.

Masing-masing takut dimarahi doktor dan jururawat, lebih-lebih lagi mereka yang mendapatkan pemeriksaan berkala di klinik kesihatan serta hospital kerajaan.

Teringat insiden yang pernah berlaku di sebelah penulis sendiri ketika menunggu giliran untuk pemeriksaan kehamilan di klinik kesihatan sekitar ibu kota lebih empat tahun lalu.

Geli hati melihat gelagat si ibu yang tiba-tiba kalut bertanyakan pen. Kemudian, cepat-cepat dia menanda kotak carta pergerakan bayi yang kosong tidak terisi sejak beberapa hari lalu.

Penulis percaya, perkara sama dilakukan lebih ramai ibu dengan alasan tidak sempat membelek ‘buku pink’ mengikut waktu kerana kekangan masa, kesibukan kerja atau mungkin terlupa.

Menurut Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Dr Patricia Lim Su-Lyn, carta pergerakan bayi adalah rekod penting yang perlu ditanda ibu hamil untuk mengenal pasti pergerakan janin, terutama apabila kandungan sudah mencecah trimester ketiga.

“Lazimnya, wanita yang hamil kali pertama akan merasa pergerakan janin seawal usia kandungan 20 minggu dan ke atas. Bagi ibu yang pernah hamil lebih sekali, dia akan merasa pergerakan janin lebih awal sedikit iaitu sekitar 18 minggu.

“Pergerakan dimaksudkan dalam carta ini adalah perbuatan janin menendang, menepis, menolak, melonjak atau apa saja impak daripada aktiviti yang dilakukan bayi dalam perut.

“Ia ketara bermula usia kandungan mencecah 18 hingga 32 minggu dan mungkin berubah corak apabila janin semakin matang dan ruang rahim kian sempit,” katanya.

BAYI PUNYA ‘KITAB’

Kata Dr Patricia, sebagaimana orang dewasa yang tidur, bergerak aktif, berehat dan tidur semula, janin juga memiliki rutin tersendiri.

“Mereka ada waktu tertentu untuk tidur, tetapi waktu tidurnya tidaklah panjang seperti orang dewasa. Mungkin dalam 20 minit, kemudian dia terjaga. Namun ia tidak melebihi 90 minit.

“Ketika usia kandungan 20 minggu, pergerakan bayi mungkin lebih aktif pada pagi dan petang. Ia juga boleh berubah bergantung kepada aktiviti ibu.

“Kalau ibu berbaring, pergerakan janin bertambah ketara. Jika ibu banyak duduk dan bergerak aktif, mungkin pergerakan janin akan kurang ketara. Boleh jadi ibu sendiri yang leka. Dia tidak rasa pergerakan bayi sebab sibuk bekerja,” katanya.

Tidak kira apa pun alasannya, kata Dr Patricia, ibu hamil perlu tahu fungsi carta pergerakan bayi dan perlu akur dengan rutin mencatat sebagaimana diarahkan doktor atau jururawat.

“Ia adalah antara cara untuk pakar perubatan mendapatkan data daripada ibu mengenai pergerakan janin mereka. Kalau berdepan ibu hamil, saya akan tanya bayi mereka bergerak atau tidak.

“Kadang-kadang, bagi ibu mengandung, dia rasa pergerakan janin pada hari berkenaan sudah mencukupi. Tetapi bagi doktor, masih tidak cukup.

“Sebab itulah adanya carta ini. Objektifnya supaya apa yang ibu cerita dan doktor tanyakan membawa kepada jawapan yang selari. Jika tidak, siasatan dan penelitian lanjut perlu dijalankan terutama jika kandungan berdepan masalah,” katanya.

KIRA 10 PERGERAKAN DALAM 12 JAM

Kepada ibu yang masih samar-samar mengenai waktu mula kiraan pergerakan janin, Dr Patricia menjelaskan ia sebenarnya fleksibel asalkan dibuat dalam tempoh 12 jam.

“Kebiasaannya, di klinik kesihatan mereka akan nasihatkan supaya kiraan bermula dari jam yang sama supaya ibu lebih mudah menganalisis kelainan pergerakan janin

dalam kandungan.

“Contohnya, mula jam 8 pagi hingga 8 malam. Apa yang ibu perlu buat adalah menanda kotak carta dalam tempoh berkenaan. Lihat jam berapa janin sudah cukup 10 pergerakan.

“Ibu yang menanda carta ini secara rutin akan dapat lihat pola pergerakan janin mereka. Mungkin sekitar jam 3 atau 4 petang, dia sudah mencapai pergerakan ke 10.

“Daripada carta ini jugalah ibu boleh menganalisis rutin bayi mereka. Jika pergerakan janin dirasakan kurang atau lambat berbanding kebiasaan, kita nasihatkan ibu supaya berjumpa dengan doktor atau terus ke klinik berhampiran untuk mendapatkan nasihat yang sewajarnya,” katanya.

Kata Dr Patricia, masih ramai ibu yang tidak tahu mengenai pentingnya untuk sentiasa memantau pergerakan janin menerusi carta berkenaan.

“Bagi ibu yang peka, dia pasti boleh menganalisis sendiri perubahan pergerakan janin. Melalui cara ini, mereka tidak akan mudah panik.

“Dalam sesetengah keadaan, ibu mungkin

dapat rasa janin kurang bergerak. Tetapi dia masih cukup 10 gerakan dalam tempoh 12 jam. Carta inilah yang akan menceritakan situasi berkenaan pada doktor.

“Selain itu, carta ini juga penting untuk ibu hamil yang berisiko tinggi iaitu mereka yang ada masalah kencing manis atau sejarah bayi meninggal dalam perut. Selebihnya, kita beri peluang kepada ibu hamil untuk mengambil bahagian dalam perkembangan kehamilan mereka sendiri,” katanya.

PUNCA LAZIM BAYI KURANG BERGERAK

Dr Patricia berkongsi situasi mungkin menyebabkan janin kurang bergerak atau ibu gagal rasa pergerakan janin.

Katanya, usah sesekali mengabaikan nasihat doktor jika mengalami salah satu sebab berikut. Ini kerana, walaupun ibu yakin bayi normal, hanya pemeriksaan lanjut boleh mengesahkan situasi sebenar.

1. Kedudukan uri

Ada waktunya kedudukan uri di depan (plasenta anterior). Dalam keadaan ini, ibu hamil mungkin kurang sensitif dengan pergerakan bayi.

2. Kedudukan bayi

Bayi anda mungkin menghadap ke dalam (perut ibu). Jadi, pergerakannya akan kurang dirasa. Ini kerana, tangan dan kaki berada di bahagian dalam.

3. Bayi bermasalah

Sesetengah bayi membesar dalam kandungan sebagai janin istimewa kerana mengalami kelainan kongenital.

Janin ini lazimnya tidak sempurna atau mengalami masalah otot atau saraf. Jadi pergerakannya tidak sama dengan bayi normal.

4. Situasi ibu

Ibu berbaring biasanya merasa pergerakan bayi lebih ketara. Jika duduk, aktif atau berjalan, kepekaan terhadap pergerakan bayi akan kurang.

5. Ibu merokok, minum alkohol, mengambil dadah atau metadon.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 6:10 AM