MASALAH hipotiroid atau hipertiroid boleh dirawat.
MASALAH hipotiroid atau hipertiroid boleh dirawat.
Fairul Asmaini

SAAT disahkan hamil adalah momen yang paling menggembirakan buat wanita bergelar isteri.

Kehadiran zuriat adalah anugerah yang tidak ternilai harganya dan menjadi pengerat kasih sayang suami isteri.

Namun, jika mengalami masalah berkaitan kelenjar tiroid, ibu hamil perlu segera berjumpa doktor kerana ia boleh mempengaruhi kesihatan dan tumbesaran bayi.

Pakar Perunding Obstektrik dan Ginekologi, Hospital Pakar KPJ Tawakkal Kuala Lumpur (KL), Dr Patricia Lim Su-Lyn berkata, secara anatomi, kelenjar tiroid berbentuk seakan-akan rama-rama dan bertanggungjawab menjaga fungsi utama badan.

Kata Dr Patricia, ia juga berfungsi mengeluarkan hormon tiroid yang memberikan tenaga dan metabolisme kepada tubuh.

“Apabila kelenjar tiroid terlalu aktif menjana hormon, ia adalah hipertiroidisme manakala jika kelenjar kurang aktif menjana hormon, individu itu berisiko menghidapi masalah hipotiroid, katanya.

Menurut Dr Patricia, ibu hamil yang mengalami gejala bengkak pada leher misalnya dinasihatkan supaya melakukan pemeriksaan termasuk menjalani ujian darah terutama ujian fungsi tiroid.

Selain itu, kata Dr Patricia, ibu hamil juga perlu segera berjumpa pakar endokrin bagi mendapatkan nasihat dan rawatan sesuai.

SAAT disahkan hamil adalah momen yang paling menggembirakan buat wanita bergelar isteri.
SAAT disahkan hamil adalah momen yang paling menggembirakan buat wanita bergelar isteri.

“Ini kerana masalah tiroid boleh menjejaskan kesuburan dan kesihatan bayi yang dikandung terutama pada peringkat trimester pertama.

“Apa pun jangan risau kerana terdapat ubat dan rawatan yang bersesuaian untuk ibu hamil yang mengalami hipotiroid atau hipertiroid selain ia tidak akan menjejaskan kandungan.

“Lebih penting, maklumkan kepada pakar yang merawat mengenai kandungan dan jangan sembunyikan, katanya.

Dalam pada itu, Dr Patricia berkata, ibu hamil yang mengalami masalah tiroid terutama jenis hipertiroid perlu melakukan ujian darah setiap trimester kandungan kerana bayi memerlukan hormon secukupnya untuk tumbesaran.

Katanya, antara komplikasi ibu hamil mengalami masalah tiroid termasuk kecacatan tumbesaran janin, masalah kesuburan, uri lekang sebelum bersalin dan paling ditakuti ia boleh menyebabkan keguguran.

“Selain itu, jantung si ibu juga berisiko untuk rosak, meningkatkan suhu badan, kadar denyutan jantung dan boleh menyebabkan ‘thyroid storm’ iaitu keadaan di mana hormon tidak dapat dikawal ketika hendak bersalin.

MASALAH tiroid boleh menjejaskan kesuburan dan kesihatan bayi yang dikandung terutama pada peringkat trimester pertama.
MASALAH tiroid boleh menjejaskan kesuburan dan kesihatan bayi yang dikandung terutama pada peringkat trimester pertama.

“Justeru, adalah penting bagi wanita mengesan masalah tiroid sebelum hamil dan segera ke hospital untuk mendapatkan rawatan, katanya.

Mengulas mengenai rawatan, Dr Patricia berkata, ia bergantung kepada jenis yang dialami sama ada hipotiroid atau hipertiroid.

Katanya, hipertiroid lebih merbahaya dari hipotiroid namun kedua-duanya masih dapat dirawat.

“Untuk hipotiroid, pesakit biasanya diberikan ubat-ubatan dan begitu juga pesakit hipertiroid.

“Namun, pesakit hipertiroid yang lebih teruk biasanya akan dirawat menggunakan kaedah pembedahan atau rawatan radioaktif iodin sebagai jalan rawatan terakhir, bergantung kepada tahap yang dihidapi.

“Selepas menjalani rawatan radioaktif iodin, pesakit hipertiroid boleh berubah ke tahap hipotiroid yang kemudian hanya dikawal dengan ubat-ubatan, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2020 @ 7:00 AM