(KIRI) JIMMY bersama Patricia. (Kanan) Jimmy bersama anaknya Ellen. FOTO Agensi
(KIRI) JIMMY bersama Patricia. (Kanan) Jimmy bersama anaknya Ellen. FOTO Agensi
Agensi

Madrid: Seorang pesara membuktikan tanda cintanya yang mendalam terhadap isteri apabila menempah percutian ke-38 di hotel sama di Majorca, Sepanyol, tetapi kali ini tanpa isteri tercinta.

Jimmy Dolan, 86, dari Glasgow itu akan kembali ke Tui Suneo Haiti di Ca'n Picafort, tempat bertemu isterinya buat kali pertama pada 1981, lapor Metro.

Namun lawatan itu menjadi kali pertamanya tanpa isteri, Patricia, yang meninggal dunia akibat penyakit Parkinson.

Dalam lawatan terakhir pada 2015, pekerja hotel berusaha memberikan keselesaan kepada Patricia yang ketika itu menggunakan kerusi roda.

Keluarga terbabit dapat menikmati percutian indah terakhir bersama di Majorca.

Namun kali ini Jimmy tidak bersendirian apabila ditemani anak perempuan, Ellen, 57, yang sering menemani mereka sejak berusia 15 tahun.

Ellen juga pernah membawa anak perempuannya Maria ke hotel berkenaan dan sudah membawanya sebanyak 12 kali.

Keluarga itu dan pekerja hotel amat rapat sehinggakan Maria yang meraikan satu majlis pada 2014 turut disambut dengan persembahan serta hadiah oleh pekerja hotel itu.

Jimmy pertama kali menginap di hotel berkenaan secara kebetulan kira-kira 42 tahun lalu, selepas memenangi pertandingan nyanyian dan memutuskan untuk menempah percutian keluarga ke Majorca.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2023 @ 11:10 AM