Spesis harimau bintang di Taman Zoo Jammu. FOTO REUTERS
Spesis harimau bintang di Taman Zoo Jammu. FOTO REUTERS
Reuters

MUMBAI: Renjer hutan India melancarkan memburu harimau bintang yang membunuh seorang sami yang bermeditasi di bawah sebatang pokok di dalam hutan.

Sami berkenaan, Rahul Walke Bodhi, melakukan amalan itu di Rizab Harimau Tadoba Andhari di barat Maharashtra sejak bulan lalu, dan diserang ketika berdoa pada awal pagi Selasa lalu, kata pegawai hutan.

Dua lagi sami yang dalam perjalanan memberikan makanan kepada mangsa berkata, mereka menyaksikan serangan itu tetapi Walke sudah meninggal dunia ketika mereka sampai.

“Saya meminta orang ramai tidak pergi ke dalam hutan,” kata timbalan pengarah rizab berkenaan, Gajendra Narwane, kepada Perbadanan Penyiaran Britain berbahasa Marathi.

Renjer hutan memasang dua sangkar dan perangkap kamera untuk cuba menangkap haiwan liar itu.

Hutan berkenaan, terletak kira-kira 825 kilometer ke tenggara Mumbai, adalah kawasan simpan bagi harimau yang menyaksikan empat serangan maut lagi berlaku dalam masa beberapa minggu lalu, menurut media.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Disember 2018 @ 8:48 PM