Puluhan tahun dalam industri filem dan membintangi lebih 300 filem, aktres Aruna Irani tidak bersungut kerana baginya setiap langkahnya di Bollywood indah dan menarik.

Katanya, jika dia berpeluang dilahirkan untuk kali kedua dia tetap mahu berada di Bollywood.

Terbaru Aruna muncul dalam filem Bol Baby Bol yang diterbitkan dalam bahasa Marathi.

"Memang saya tak fasih bahasa Marathi dan watak yang ditawarkan dalam dalam filem itu tidak menarik. Tetapi kerana adik saya menerbitkan filem itu, saya bersetuju dengan tawarannya.

"Watak saya sebagai ibu yang percaya kepada ilmu astrologi," katanya.

Imbas kenangan lalu Aruna dan seorang lagi aktres veteran Bollywood, Helen juga dikenali sebagai ratu tarian yang boleh dikatakan dalam setiap filem diterbitkan pada era 70-an mereka pasti muncul menyanyi dan menari.

Apabila memperkatakan mengenai perkara itu, jelas Aruna, bukan semua aktres dilahirkan dengan pandai menari.

"Dulu kami tiada halangan langsung untuk pergi berhibur di pub dan kelab malam. Di situlah kami mengasah bakat menari. Bezanya penari dulu dan sekarang, kami dulu pakai skirt pendek, blaus singkat, ghaghra atau sari.

"Malah cara pembikinan filem dulu berbeza dengan sekarang. Dulu heroin tidak menari dan hero juga tidak berlakon aksi komedi. Sebab itu saya dan Helen menjadi rebutan produser dan pengarah filem untuk adegan menari.

"Sekarang heroin juga sudah menyanyi dan menari dalam filem, hero juga boleh berlakon komedi. Bagaimanapun sejak dulu sehingga sekarang, dengan perubahan cara kerja dan sebagainya, saya tetap gembira di Bollywood," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 November 2014 @ 5:01 AM