GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

Gua Musang: Peranan renjer komuniti amat penting dalam usaha membanteras pencerobohan, pembalakan dan perlombongan haram serta pembunuhan hidupan liar, justeru penambahan bilangan renjer termasuk daripada kalangan masyarakat Orang Asli dilihat sebagai keputusan yang tepat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Aring 5, Mohd Fazli Mamok berkata, masyarakat Orang Asli sememangnya terkenal dengan kepakaran mereka di dalam hutan.

Beliau berkata, langkah berkenaan turut dapat membantu masyarakat Orang Asli meningkatkan taraf hidup dengan peluang pekerjaan seperti itu.

"Kita berpuas hati dengan berita baik tadi dan semestinya saya yakin pemilihan Orang Asli sebagai renjer hutan sangat tepat kerana kami membesar di dalam kawasan hutan dan kami dapat 'memahami' hutan dengan mudah.

"Lagi pula mereka yang terpilih dapat memperolehi pendapatan yang tetap jadi dapat menampung perbelanjaan keluarga," katanya kepada Bernama, hari ini.

Bagi Ketua Penghulu Orang Asli Kelantan Bidi Ronggeng, pengumuman itu menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam mengetengahkan kemahiran dan kepakaran masyarakat Orang Asli dalam selok-belok kawasan hutan.

"Saya mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Kerajaan MADANI di atas kesungguhan menjaga kebajikan masyarakat Orang Asli dengan menyediakan peluang pekerjaan yang lebih banyak dengan menggunakan kelebihan yang dimiliki.

Saya percaya masyarakat kami telah bersedia bila-bila masa sahaja untuk menggalas tanggungjawab sebagai renjer hutan ini," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan 2024 mengumumkan kerajaan akan menambah bilangan renjer komuniti kepada 2,000 orang berbanding 1,000 orang tahun ini bagi meningkatkan penguatkuasaan kawasan hutan simpan kekal.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, sebanyak RM60 juta diperuntukkan dengan tumpuan untuk melantik renjer daripada kalangan veteran ATM, PDRM, Orang Asli dan komuniti setempat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2023 @ 9:43 PM