DAPUR yang digunakan Kate juga bersaiz mini termasuk peralatan seperti kuali, mangkuk dan pisau. - Agensi
DAPUR yang digunakan Kate juga bersaiz mini termasuk peralatan seperti kuali, mangkuk dan pisau. - Agensi
Agensi

London: Seorang wanita memperoleh pendapat lumayan dengan mengendalikan rancangan memasak makanan bersaiz mini di laman perkongsian video YouTube.

Kate Murdoch, 24, mengendalikan salurannya di YouTube yang dikenali sebagai Tiny Kitchen (Dapur Kecil) yang melihatnya memasak pelbagai makanan, kek dan biskut bersaiz mini.

Lebih menarik lagi, semua peralatan yang digunakan Kate termasuk dapur, periuk, pinggan, cawan dan mangkuk bersaiz kecil.

Kate berkata, dia suka memasak dan gemar menonton rancangan memasak di televisyen serta bercita-cita mengendalikan rancangan memasaknya sendiri.

“Pada 2013, saya bekerjasama dengan adik saya untuk merakamkan saya memasak sebelum memuat naik video itu di YouTube.

“Video itu mendapat sambutan yang menggalakkan tetapi saya mahu sesuatu yang berbeza sebelum mendapat idea untuk memasak makanan yang kecil dan comel ini,” katanya.

Menurutnya, memasak makanan bersaiz kecil sangat mencabar kerana semua bahan dan peralatan bersaiz mini.

“Dapur yang saya gunakan juga sangat kecil, saya menggunakan lilin untuk memanaskan ketuhar, kuali sebesar kuku dan pisau sebesar jarum.

“Orang mungkin bimbang makanan mereka hangus ketika memasak tetapi saya hanya risau tangan saya melanggar peralatan di dapur kecil ini,” jelasnya.

Saluran Kate kini mempunyai 95,000 langganan dan ditonton lebih tujuh juta kali.

Menurutnya, populariti itu menyebabkan dia kini ditaja beberapa syarikat makanan dan bahan menghasilkan kek.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2017 @ 10:15 AM