AZREEN (kanan) mula-berjinak-jinak sebagai YouTuber sejak minggu lalu dan berkongsi pelbagai resipi masakan dimasak untuk anaknya. FOTO Azreen Abdul Aziz
AZREEN (kanan) mula-berjinak-jinak sebagai YouTuber sejak minggu lalu dan berkongsi pelbagai resipi masakan dimasak untuk anaknya. FOTO Azreen Abdul Aziz
Redzuan Muharam


"SAYA tidak pernah memasang impian menjadi YouTuber di usia begini, tetapi cuba berjinak-jinak demi memenuhi permintaan anak," kata ibu tunggal kepada 10 anak, Azreen Abdul Aziz.

Azreen bergelar ibu tunggal selepas kematian suami, Shakri dan dan anak sulungnya, Shakir selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya, enam tahun lalu.

Wanita itu menarik perhatian warganet kerana kesungguhannya berkongsi video memasak dan secara tidak langsung menjadi YouTuber walaupun sudah berusia 50 tahun.

Dalam tempoh seminggu, Azreen yang menetap di Kemaman, Terengganu mengumpul 700 pengikut dan video pertama dimuat naiknya meraih 1,500 tontonan.

AZREEN (duduk dua dari kanan) bersama 10 anaknya. FOTO Azreen Abdul Aziz
AZREEN (duduk dua dari kanan) bersama 10 anaknya. FOTO Azreen Abdul Aziz

Bercerita lanjut, Azreen mengakui tidak sengaja terjebak sebagai YouTuber, tetapi anaknya bersungguh untuk melihatnya memuat naik rakaman videonya memasak di YouTube.

"Kebetulan, semua anak ada di rumah sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jadi kebanyakan masa saya di dapur kerana menyediakan hidangan buat mereka.

"Ketika saya di dapur, mereka gemar mengambil gambar dan pada satu hari, mereka cadangkan saya untuk berkongsi cara memasak di YouTube.

"Mulanya saya tidak yakin untuk berbuat demikian kerana merasakan masakan saya tidak sehebat orang lain, tetapi akhirnya mencuba demi menuruti permintaan anak," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Azreen, buat masa ini, dia lebih selesa memuat naik video makanan kegemaran anaknya dan hidangan kerap dimasak di rumah.

Katanya, tiada sasaran jumlah video akan dimuat naik dalam sehari atau seminggu, tetapi dia selesa menjadi diri sendiri sewaktu rakaman dilakukan.

"Alhamdulillah, semua komen diterima setakat ini positif dan apa yang dipaparkan adalah realiti saya ketika di dapur.

"Disebabkan masih baru, anak yang membantu saya menyunting rakaman video sebelum dimuat naik di YouTube.

"Diharap, resipi dikongsikan itu dapat memberi manfaat dan memberi idea untuk mereka yang menonton supaya mencubanya sendiri di rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2020 @ 9:00 PM