ELEMEN kedesaan diterapkan dengan penggunaan perabot kayu.
ELEMEN kedesaan diterapkan dengan penggunaan perabot kayu.
AZRIN gemar melakukan kerja-kerja DIY untuk kepuasan diri.
AZRIN gemar melakukan kerja-kerja DIY untuk kepuasan diri.
AZRIN akan memastikan setiap ruang yang digunakan mestilah mempunyai fungsi.
AZRIN akan memastikan setiap ruang yang digunakan mestilah mempunyai fungsi.
Muhamaad Razis Ismail


TERTARIK dengan keunikan kediaman di dalam filem dan drama Inggeris mendorong lelaki ini memilih konsep rumah ladang industri untuk rumah teres satu tingkat miliknya di Rembau, Negeri Sembilan.

Lebih menarik, 80 peratus pengubahsuaian kediaman termasuk penghasilan katil, meja bar dan loteng dihasilkan sendiri (DIY) Azrin Izuan Shah, 41, sejak tujuh tahun lalu.

Paling menarik bagi penulis berkenaan dekorasi kediaman ini adalah bilik tidur anak lelaki yang dibina sendiri dengan dilengkapi taman bumbungan ('rooftop garden') sebagai merealisasikan impian kanak-kanaknya untuk memiliki bilik tidur sendiri.

Bagi mengimbangi konsep yang diketengahkan, Azrin turut membina taman mini di satu sudut di ruang parkir kenderaan yang dipenuhi dengan pelbagai pokok hiasan hijau.

Azrin yang juga tenaga pengajar dalam bidang teknologi kimpalan di Institut Latihan Perindustrian Pedas, menggunakan kemahiran yang dimiliki untuk melakukan kerja-kerja DIY.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, inspirasi untuk mengubahsuai kediamannya diperoleh daripada drama dan filem Inggeris yang sering ditonton bersama keluarga.

Katanya, dia amat tertarik dengan konsep kediaman itu yang nampak unik dan menarik.

AZRIN bersama ahli keluarganya.
AZRIN bersama ahli keluarganya.

"Konsep ini lebih kena dengan jiwa selain lebih mudah diolah dengan kerja-kerja DIY.

"Pada masa yang sama, konsep ini juga tidak memerlukan barang-barang yang mewah dan boleh menggunakan elemen kedesaan dalam kerja mendekorasi," katanya.

Menurutnya, kerja-kerja pengubahsuaian kediaman terus dilakukan selepas mendapat kunci kediaman dengan memasang jeriji besi dan kabinet dapur yang dibeli dari sebuah kedai perabot.

Katanya, kemudian kerja-kerja pengubahsuaian dilakukan secara berperingkat bergantung kepada kelapangan masa dan sumber kewangan sehingga ke hari ini.

PENGGUNAAN perabot yang terhad di ruang tamu.
PENGGUNAAN perabot yang terhad di ruang tamu.

"Saya adalah jenis orang yang selagi boleh buat sendiri saya akan cuba untuk buat.

"Berbekalkan minat, pengalaman dan idea yang Allah ilhamkan, saya DIY kebanyakan barang di rumah ini, dari jeriji besi, katil, meja bar, panel dinding, meja penapis air, loteng, papan tanda dan rak penapis air. Malah langsir pun saya jahit sendiri," katanya.

Katanya, kerja-kerja DIY turut dilakukan bersama isteri dan anak-anak termasuk memotong, mengecat dan melukis bersama.

"Selain dapat meluangkan masa bersama mereka, saya dapat menerapkan disiplin dan membiasakan mereka dengan kebersihan dan kerja-kerja rumah.

PEMILIHAN warna menjadikan ruang nampak luas.
PEMILIHAN warna menjadikan ruang nampak luas.

"Tugas saya sebagai pengajar bidang kimpalan juga memberikan kelebihan kepada saya untuk mengajar sambil membuat kerja-kerja DIY," katanya.

Oleh kerana saiz kediaman yang agak kecil, Azrin memilih tidak menggunakan perabot yang banyak dan besar.

"Di ruang tamu, saya hanya menggunakan sofa tiga tempat duduk, 'wing chair' dan meja konsol sebagai penyeri. Untuk ruang makan kami menggunakan meja ala 'farmhouse' yang boleh memuatkan seramai lapan orang.

"Di dapur yang bersambung dengan ruang makan, saya gunakan kabinet (dibeli) yang digabungkan dengan meja bar yang saya buat sendiri. Saya juga buat rak penapis air ala-ala farmhouse.

MEMBINA loteng di bilik tidur anak lelakinya.
MEMBINA loteng di bilik tidur anak lelakinya.

"Untuk bilik tidur utama, saya gunakan katil bersaiz King yang saya buat sendiri daripada kayu-kayu rumah lama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan almari pakaian dari IKEA yang saya reka dan pasang sendiri," katanya.

Katanya, dia memanfaatkan ketinggian bilik anak lelaki dengan membina loteng sebagai ruang tidur dan ruang lepak mereka manakala di bahagian bawah dijadikan sebagai ruang belajar dan almari pakaian.

"Di bahagian loteng ini, terdapat pintu untuk ke taman bumbungan. Manakala untuk bilik anak perempuan, saya menggunakan almari baju dan meja belajar serta katil dengan penggunaan kombinasi warna merah jambu, putih dan kelabu.

"Bilik anak adalah ruang yang paling saya suka kerana dapat realisasikan impian zaman kanak-kanak saya yang inginkan bilik sendiri ketika masih kecil," katanya.

DAPAT merealisasikan impian kanak-kanaknya dengan membina sendiri bilik tidur anak.
DAPAT merealisasikan impian kanak-kanaknya dengan membina sendiri bilik tidur anak.

Jelasnya, dia turut menggunakan sebuah bilik yang paling kecil untuk dijadikan stor dan pantri.

"Saya memanfaatkan ketinggian bilik ini membina loteng untuk dijadikan stor manakala ruang bawah saya jadikan pantri dan tempat menggosok pakaian," katanya.

Katanya, dengan ruang yang agak terhad, dia amat menitik beratkan penggunaan ruang yang maksimum dalam pengubahsuaian rumah.

"Setiap ruang yang saya gunakan, selain sedap mata memandang, mestilah ada fungsinya," katanya.

KATIL bersaiz King yang dihasilkan sendiri yang digunakan di bilik tidur utama.
KATIL bersaiz King yang dihasilkan sendiri yang digunakan di bilik tidur utama.

Ditanya kepuasan yang diperoleh dengan menghias kediaman, Nor Azrin, melihat kegembiraan isteri dan anak-anak memberi keseronokan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

"Tugas saya dan isteri adalah menyediakan ruang dan dekorasi yang terbaik kepada anak-anak supaya mereka boleh membesar dengan baik dalam rumah yang bersih dan cantik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2024 @ 6:21 AM