RAK pasu dihasilkan selepas mendapat permintaan daripada isterinya Nurulenash Mohmad Sahibek.
RAK pasu dihasilkan selepas mendapat permintaan daripada isterinya Nurulenash Mohmad Sahibek.
Oleh Muhamaad Razis Ismail


SEORANG pengusaha tadika menggunakan bakat terpendam yang dimiliki untuk menghasilkan sendiri rak pasu bunga dan tangga boleh laras di kediamannya di Simpang Renggam, Johor.

Abdul Hadi Abdul Kadir, 37, meluangkan masa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bapa kepada tiga anak itu berkata, ketika PKP tadika miliknya tidak dapat beroperasi seperti biasa.

Katanya, untuk mengisi masa lapang, beliau menghasilkan rak pasu bunga menggunakan batang paip Polyvinyl Chloride (PVC) sebagai memenuhi permintaan isterinya yang minat menanam pokok bunga.

"Pada mulanya pasu disusun di atas lantai sahaja. Isteri kemudian meminta saya beli rak sama ada diperbuat daripada kayu atau besi di dalam talian.

"Selepas buat pemeriksaan, saya mendapat idea untuk buat rak itu sendiri menggunakan PVC mengikut saiz yang diinginkan," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

RAK pasu yang dihasilkan dengan menggunakan PVC.
RAK pasu yang dihasilkan dengan menggunakan PVC.

Beliau berkata, bahan untuk menghasilkan rak termasuk PVC, penyambung paip dan skru lebih mudah diperoleh di kedai perkakasan dengan harga tidak sampai RM100.

"Saya juga menggunakan papan kecil terpakai untuk dijadikan sebagai alas dan skru.

"Pemasangannya juga tidak rumit selain mudah diubah suai. Saya ambil idea daripada rak yang sedia ada di pasaran dan ubah suai sedikit mengikut kesesuaian.

"Saya mengambil masa sehari sahaja untuk siap rak pasu ini dengan ketinggian 140 sentimeter (cm) dan lebar 130cm," katanya.

Dalam pada itu, dia turut menghasilkan tangga boleh laras yang digunakan untuk naik ke loteng rumahnya.

TANGGA boleh laras untuk naik ke loteng.
TANGGA boleh laras untuk naik ke loteng.

"Sebelum ini, saya gunakan tangga lipat untuk naik ke loteng yang dijadikan sebagai stor. Namun saya bercadang untuk jadikan loteng itu sebagai bilik anak-anak, oleh itu, saya memerlukan tangga sesuai untuk keselamatan mereka.

"Kemudian saya buat carian di Internet dan mendapat idea untuk menghasilkan tangga boleh laras sekali gus mengoptimumkan penggunaan ruang di bahagian bawah," katanya.

Tambahnya, dia menggunakan papan, engsel dan peredam hidraulik dengan kos RM800.

"Tempoh kira-kira tujuh hari diperlukan untuk siapkan tangga itu kerana tidak dapat dilakukan sepenuh masa.

"Perkara paling mencabar adalah pemasangan tangga itu pada dinding kerana berat," katanya.

TANGGA boleh dirapat ke dinding untuk menjimatkan ruang.
TANGGA boleh dirapat ke dinding untuk menjimatkan ruang.

Katanya, di masa hadapan, dia berhasrat untuk menghasilkan lebih banyak produk sendiri di rumahnya.

"Menghasilkan produk sendiri memberi kepuasan luar biasa selain dapat menjimatkan wang dan memberikan pengalaman baru," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2020 @ 6:30 AM