TERDAPAT dua ruang berbeza.
TERDAPAT dua ruang berbeza.
Nurul Husna Mahmud

Loteng dalam seni bina rumah Melayu tradisional biasanya dibina sebagai ruang persembunyian ketika negara berperang atau untuk anak dara berlindung apabila ‘orang luar’ bertandang.

Biasanya terdapat tangga kecil disorokkan sebalik tulang sisi rumah dan diselit di atas atau tepi dinding untuk akses ke bahagian loteng yang biasanya dibina pada bumbung.

Sementara fungsi loteng bagi rumah Inggeris atau di Eropah, ia sering menjadi ruang penyimpanan barang atau stor bagi penyusunan lebih teratur.

Mempunyai pelbagai fungsi antara faktor penarik buat pemilik kediaman tempatan beralih kepada loteng sebagai pilihan menggantikan pembinaan bilik baru.

Menurut Pengasas Loteng Serbaguna SM Construction, Saiful Mansor, permintaan terhadap pembinaan loteng rumah di Malaysia mula menjadi pilihan berbanding memiliki bilik tambahan atas faktor kosnya lebih berpatutan selain tempoh menyiapkannya lebih singkat.

WARNA lebih terang.
WARNA lebih terang.

“Bagi pembinaan bilik baru, kerja pengubahsuaian biasanya membabitkan kos tidak kurang daripada RM80,000. Berbeza dengan kos pembinaan loteng yang biasanya menelan sekitar RM40,000 dan ke bawah.

“Pengalaman kami dalam kerja pengubahsuaian rumah sejak lapan tahun lalu terkesan dengan kos barang dan buruh yang makin meningkat menyebabkan pelanggan turut menerima tempias.

KERJA memasang tulang.
KERJA memasang tulang.

“Jadi kami menyarankan anda membina loteng berbanding sebuah bilik jika bajet terhad. Lagipun, dalam pembinaan loteng, prosedurnya mudah kerana tuan rumah mahupun kontraktor tidak perlu melakukan urusan dokumentasi yang rumit membabitkan,” katanya.

KERJA pemasangan tingkap di bahagian bumbung.
KERJA pemasangan tingkap di bahagian bumbung.

Dalam pengubahsuaian rumah, ruang yang biasanya dijadikan loteng ialah bahagian bumbung rumah dan juga ruang udara (airwell) di sisi rumah kerana kawasan berkenaan mempunyai sistem pengudaraan yang baik.

Kata Saiful, dalam kerja pembinaan loteng pihaknya perlu meneliti dulu kesesuaian struktur rumah terutama bumbung.

PANEL tingkap di atas bumbung membantu pencahayaan baik dalam loteng.
PANEL tingkap di atas bumbung membantu pencahayaan baik dalam loteng.

“Rumah moden biasanya memiliki ukuran yang standard dan sesuai iaitu 2.4 meter sebagai ketinggian minimum. Saiz bagi ukuran keluasan loteng pula ialah antara 213.4 meter persegi hingga 243.9 meter persegi. Ia boleh menampung beban dua hingga ke lima tan mengikut spesifikasi material digunakan.

“Dalam proses rundingan, rekaan dan penilaian jumlah kos pembinaan struktur berkenaan pihak kami akan bertanya terlebih dulu fungsi ruang terbabit sama ada sebagai ruang pejabat, permainan anak, stor mahupun bilik tidur,” katanya.

BILIK air memerlukan kerja lebih rumit.
BILIK air memerlukan kerja lebih rumit.

Ditanya sama ada pembinaan loteng relevan dengan iklim dan cuaca semasa Malaysia, Saiful memaklumkan teknologi serta material pembinaan masa kini membantu memenuhi impian pemilik memiliki loteng di kediaman mereka.

“Tiada banyak bezanya suhu bahagian loteng dengan bahagian rumah lain. Ini disebabkan ketika pembinaan awal iaitu dalam kerja penggantian tulang dan pembinaan struktur asas loteng sendiri, kami mengenal pasti elemen penting iaitu sistem pengudaraan rumah itu sendiri.

SAIFUL menunjukkan sampel material bagi kemasan lantai.
SAIFUL menunjukkan sampel material bagi kemasan lantai.

“Kami turut memasang ‘foam’ khas menyerap haba selain membina tingkap tambahan bagi membantu mewujudkan aliran udara lebih efisien.

“Malah cabaran dalam pembinaan loteng, rekaan boleh menjadi rumit apabila penghuni mahu ruang tambahan iaitu bilik air dan perincian pada hiasan ruang termasuk ruang meninjau akan memberi kos tambahan kepada kerja pengubahsuaian.

CANTIK kemasan lantai.
CANTIK kemasan lantai.

“Kalau rumit ialah apabila tuan rumah mungkin mempunyai permintaan ekstra iaitu pembinaan ‘aloft’, lebih panel tingkap pada bumbung dan dilengkapi bilik air. Ia tidak mustahil tetapi perlukan lebih teliti dalam pelan pengubahsuaian terbabit selain masa lebih panjang,” katanya yang turut menawarkan perkhidmatan membina loteng menerusi platform media sosial.

TANGGA diberi sentuhan eksklusif.
TANGGA diberi sentuhan eksklusif.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 September 2018 @ 6:16 AM