TAYAR lama dicat mengindahkan kawasan taman.
TAYAR lama dicat mengindahkan kawasan taman.
PENDUDUK meluangkan masa beriadah di taman mini yang dilengkapi kolam air pancut.
PENDUDUK meluangkan masa beriadah di taman mini yang dilengkapi kolam air pancut.
Zaitie Satibi


Lazimnya tayar lama yang sudah tidak digunakan lagi akan diproses untuk dijadikan bahan asas semula bagi kegunaan industri pembuatan ataupun berakhir di tempat pembuangan sampah.

Namun, janganlah semua barangan yang sudah lama dan rosak serta tiada kegunaan lagi dianggap sampah dan dibuang begitu saja. Gunakan kemahiran dan idea kreatif untuk membuat hasil kitar semula yang boleh dimanfaatkan.

Inilah yang dilakukan penduduk Taman Universiti Utama, Seksyen 30, Shah Alam yang menjadikan tayar terbuang sebagai hiasan menarik di halaman mahupun di taman permainan kanak-kanak.

Pengerusi Taman Universiti Utama Zulkepli Md Salleh berkata, sifat tayar yang tahan terhadap pelbagai suhu dan cuaca amat sesuai sekali dijadikan hiasan kitar semula di kawasan terbuka.

Ia bukan sahaja diperoleh secara percuma daripada penduduk yang tidak menginginkan tayar lama berkenaan, malah idea kitar semula bahan itu dapat memberi pendedahan, ilmu dan kesedaran kepada penduduk khususnya kanak-kanak mengenai kreativiti kitar semula barang buangan.

“Tayar terbuang ini kami olahkan semula kepada pasu bunga dengan watak kartun, set meja dan kerusi, penghadang jalan dan papan tanda nama taman. Sifatnya yang boleh dibentuk dan lasak menjadikan ia sesuai digunakan.

“Penggunaan tayar lama bukan saja menjimatkan, tetapi menjadi satu sumbangan kami kepada alam semula jadi. Jika dibuang ke tempat pelupusan sampah, kemungkinan ia dibakar dan hasil pembakaran akan melepaskan bahan toksik berbahaya kepada alam sekitar yang boleh menjejaskan kesihatan manusia,” katanya.

Katanya, tidak sukar menggubah tayar lama menjadi bahan dekorasi yang melatari landskap laman di taman perumahan berkenaan kerana apa yang penting adalah idea bernas dan kreatif serta penggunaan cat dengan warna terang untuk lebih tarikan.

“Halaman taman perumahan ini agak luas bagi menampung keperluan riadah penduduk seramai 350 orang. Selain dikhususkan ruangannya kepada padang permainan dan gelanggang sukan, tanah lain terbiar kosong.

“Oleh itu, kami sepakat menjadikan tanah kosong itu sebagai kebun komuniti dengan pelbagai jenis tanaman sayuran dan buah-buahan serta taman mini untuk kegiatan kemasyarakatan.

“Selain mengitar semula tayar lama, terdapat juga hiasan unik daripada barangan terbuang lain seperti kepala pemancut mandian, mesin kukur kelapa, tin kosong, kereta sorong bayi, kayu palet dan saluran getah air,” katanya.

Usaha penduduk perumahan berkenaan mengubah tanah terbiar kepada kebun komuniti yang mampu mengeluarkan hasilnya kepada penduduk, di samping menghias taman mini dengan landskap unik terdiri barangan kitar semula adalah sebahagian aktiviti komuniti supaya penduduk dapat berinteraksi dengan positif.

Keunikan kreativiti yang menarik perhatian itu juga mendapat pengiktirafan apabila taman perumahan itu dinobatkan sebagai johan kategori terbuka dalam Anugerah Hijau Zon Bersih Mini (Mini Zee Bee) Antara Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon Shah Alam 2017 anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) tahun lalu.

“Penduduk turut menzahirkan kreativiti mereka dalam seni mural pada dinding bangunan merawat dan mengitar semula air kumbahan berhampiran taman mini ini. Setiap lukisan mural dihasilkan mengikut tema yang boleh memberi kesedaran.

“Lukisan mural pada dinding dapat menarik minat penduduk untuk menggunakan taman mini ini sebagai kawasan riadah mereka. Lukisan dinding juga satu cara kreatif untuk menghidupkan dinding kosong dan memberikan suasana berbeza,” katanya.

Zulkepli berkata, pihaknya akan meneruskan usaha mengindahkan taman mini berkenaan dengan menggunakan bahan terbuang yang dikitar semula. Bagi mereka ia tetap kelihatan cantik apabila disuntik elemen kreativiti.

“Kolam air pancut turut dibina bagi melengkapkan landskap taman mini ini. Selain menambah hiasan pokok renek dalam pasu, kolam air pancut itu juga menggunakan barangan kitar semula seperti peti penyimpanan plastik sebagai bekas pancuran air,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Mac 2018 @ 12:41 PM