Muhamaad Razis Ismail


IDEA spontan. Demikian konsep rumah peniaga batik untuk menghias rumahnya di Kampung Wakaf Zain, Kota Bahru, Kelantan ini.

Abdul Aziz Awang, 59, menghasilkan sendiri hiasan daripada barang terbuang seperti pelampung, kayu dan tempurung kelapa sekali gus mencipta idea laman dan ruang dalaman yang unik.

Penulis sendiri tidak pernah terfikir, pelampung dan kelapa kering apabila diwarnakan dengan pelbagai corak mampu menjadi hiasan menarik.

Bapa dua anak itu juga tidak mensia-siakan bakat melukis batik dengan menghasilkan mural termasuk pada bahagian siling.

ABDUL Aziz
ABDUL Aziz

Jadi, tidak hairanlah Abdul Aziz pernah dilantik menjadi Duta Batik Negara pada 1984 dan menerima Anugerah Tokoh Kesenian Batik 2016.

Sebaik tiba, penulis terpegun melihat dinding di luar kediamannya dihiasi dengan lukisan tiga dimensi (3D) batu bata yang dihasilkan sendiri.

Melangkah masuk pula, penulis sudah dapat rasai aura seni pemiliknya apabila dihidangkan lukisan mural batik dan pokok kering di dinding ruang tamu setinggi tiga meter.

Di setiap sudut rumah dan siling pula ditempatkan pelbagai hiasan yang dihasilkan daripada barang terbuang dan barang antik yang pasti berjaya ‘menarik’ perhatian tetamu seperti berada di dalam sebuah muzium.

Turut kelihatan, sebuah almari kaca yang menempatkan koleksi ‘rare’ Abdul Aziz termasuk telefon, jam, kipas dan sebagainya.

Penulis tertarik melihat sebuah dinding kayu yang diambil daripada rumah lamanya untuk memisahkan ruang tamu dan dapur.

TERSERGAM indah kediaman Abdul Aziz.
TERSERGAM indah kediaman Abdul Aziz.

Abdul Aziz turut menghias dinding dapurnya dengan mural bunga sakura dan apabila mendongak ke atas terdapat pula mural batik di siling.

Di bahagian luar dapur terdapat sebuah kolam kecil yang ‘dicipta’ dengan kreativiti sendiri. Sementara luar rumah pula terdapat sebuah taman mini dipenuhi dengan batu sungai dilengkapi kerusi, kayu lama dan barang terbuang.

Abdul Aziz berkata, rumah yang memiliki dua ruang tamu dan empat bilik tidur ini dibina secara berperingkat dan dia tidak membuat sebarang perancangan mengenai konsep rumah terbabit. Katanya, semuanya dihasilkan secara spontan mengikut kreativitinya sendiri.

“Rumah ini siap sejak dua tahun lalu dan memang saya sendiri tidak membuat sebarang perancangan mengenai konsep kediaman ini. Cuma, saya minta kepada kontraktor bina ruang tamu yang luas supaya adik beradik lain dapat berkumpul seperti rumah kampung.

“Selebihnya saya hias rumah dengan menggunakan barang terbuang yang dihasilkan sendiri dan susun atur barang pun tiada yang spesifik.

“Insya-Allah sekiranya ada rezeki lebih saya merancang bina sebuah galeri koleksi barang pertanian di halaman rumah,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, sejak kecil dia sangat suka menghasilkan pelbagai hiasan daripada barang terbuang.

“Apa sahaja yang barang orang anggap tidak berguna, saya suka berfikir untuk hasilkan sesuatu yang baharu daripada barang itu.

“Dari sekadar mencuba, lama kelamaan, minat itu datang dan sehingga ke hari ini saya masih lagi menghasilkan hiasan daripada barang terbuang,” katanya.

BAHAGIAN tangga luar diletakkan hiasan dan tanaman berbunga.
BAHAGIAN tangga luar diletakkan hiasan dan tanaman berbunga.

FUNGSI ruang tampil bersama penataan penuh dengan nilai estetika.
FUNGSI ruang tampil bersama penataan penuh dengan nilai estetika.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Disember 2019 @ 5:25 AM