Perasmian Pembukaan Cawangan ke-35 AEON Setia Alam di Setia City Mall, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Perasmian Pembukaan Cawangan ke-35 AEON Setia Alam di Setia City Mall, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Shah Alam: Aeon Co (M) Bhd (Aeon) melebarkan sayapnya menerusi pembukaan cawangan ke-35 Aeon di Setia Alam dengan keluasan 148,243 kaki persegi.

Pengarah Urusannya, Naoya Okada berkata, terletak di Setia Alam Mall, ia merangkumi kawasan beli-belah tiga tingkat yang menawarkan lokasi selesa untuk pengunjung.

Katanya, pasar raya yang dikenali sebagai Aeon Setia Alam ini adalah satu lagi titik penting selepas kejayaan membuka cawangan di Putrajaya tahun lalu.

"Aeon Setia Alam direka sebagai destinasi serba lengkap yang memenuhi pelbagai keperluan pelanggan.

"Kami yakin dengan pembukaan cawangan baru ini akan menambah nilai kepada pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negara serta menyumbang kepada perkembangan positif dalam sektor peruncitan," katanya pada majlis perasmian cawangan berkenaan, semalam.

Hadir sama, Pengarah Kanan Sektor Perdagangan Pengedaran dan Perniagaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Rohaizi Bahari dan Pengerusi Aeon, Datuk Iskandar Sarudin.

Dengan penambahan Aeon Setia Alam, Aeon kini akan beroperasi dengan 35 rangkaian pasar raya di samping 28 Aeon Malls, tiga MaxValu, empat MaxValu Prime Supermarkets, 65 Aeon Wellness dan 45 Daiso di seluruh negara.

Naoya berkata, Aeon Setia Alam menyediakan tempat membeli-belah yang direka khusus untuk peminat fesyen pelbagai peringkat umur serta menawarkan pelbagai produk penjagaan kulit, solekan, hinggalah minyak wangi pada harga berpatutan.

Seperti pasar raya Aeon lain, Aeon Setia Alam juga menawarkan produk Top Valu yang berkualiti tinggi seperti barang runcit, keperluan isi rumah dan barangan harian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2024 @ 7:53 AM