NAOYA Okada pada sidang media selepas Majlis Ulang Tahun Aeon Ke- 40 Tahun dan Senyum Tour di Aeon Alpha Angle, Wangsa Maju. FOTO BERNAMA
NAOYA Okada pada sidang media selepas Majlis Ulang Tahun Aeon Ke- 40 Tahun dan Senyum Tour di Aeon Alpha Angle, Wangsa Maju. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Aeon Co (M) Bhd merancang untuk membuka sebuah pasar raya Aeon baharu menjelang akhir 2025, berhampiran Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (Mitec).

Ketua Pegawai Operasinya, Naoya Okada berkata, langkah itu antara usaha pengembangan perniagaan syarikat itu.

Ia juga akan membuka pasar raya Aeon baharu di Setia City Mall, Shah Alam bulan depan dan mengubah suai sepenuhnya tiga pasar raya Aeon sedia ada.

"Pada masa ini, kami sedang melakukan pengubahsuaian di Aeon Bandar Puchong, IOI Mall Puchong yang akan dimulakan selepas raya (Aidilfitri) dan siap menjelang tahun ini.

"Pengubahsuaian akan dilakukan secara berperingkat, bahagian demi bahagian supaya tidak mengganggu perniagaan sedia ada," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sambutan ulang tahun ke-40 Aeon dan pelancaran program Senyum Tour di Aeon Alpha Angle, di sini, kelmarin.

Turut hadiri, Pengerusi Aeon, Datuk Iskandar Sarudin.

Okada berkata, syarikat itu juga merancang untuk mengubah suai setiap pasar rayanya di Johor dan wilayah utara.

"Kami komited untuk menaik taraf pusat beli-belah dan pasar raya sedia ada kami seperti yang kami lakukan di sini (Aeon Alpha Angle) dua tahun lepas. Tahun lepas, kami mengubah suai satu di Ayer Keroh, Melaka dan satu lagi di Cheras Selatan," katanya.

Sehingga kini, Aeon mempunyai 28 pusat beli-belah, 34 pasar raya, tujuh pasar raya MaxValu, 64 Aeon Wellness dan 45 cawangan Daiso di seluruh negara.

Okada berkata, melalui pengembangan perniagaannya pada 2024, kumpulan itu berharap dapat meraih pelanggan baharu, terutamanya daripada generasi muda.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2024 @ 8:01 AM