POH (kiri) pada sidang media mesyuarat agung tahunan AEON, semalam.
POH (kiri) pada sidang media mesyuarat agung tahunan AEON, semalam.
Sofyan Rizal Ishak


KUALA LUMPUR: AEON Co (M) Bhd (AEON) memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) lebih rendah pada tahun ini iaitu RM500 juta berikutan syarikat terbabit tidak memiliki perancangan bagi membuka sebarang pusat beli-belah baru tahun ini.

Pengarah Eksekutifnya, Poh Ying Loo berkata, pada kebiasaannya syarikat memperuntukkan perbelanjaan antara RM600 juta hingga RM700 juta bagi pembukaan pusat beli-belah baharu.

“Pada tahun ini, kami hanya membuka sebuah pusat beli-belah baharu iaitu AEON Mall Nilai pada Januari lalu dan merancang untuk menaik taraf dan membuka semula Pusat Beli-Belah AEON Taman Maluri menjelang separuh kedua tahun ini,” katanya kepada media selepas mesyuarat agung tahunan AEON di sini, semalam.

Beliau berkata, baki daripada perbelanjaan modal itu akan digunakan bagi menaik taraf pusat beli-belah sedia ada di Taman Maluri, Cheras dan cawangan lain yang belum dikenal pasti buat masa ini.

“Pada tahun ini, fokus pembangunan kami lebih terarah kepada kerja menaik taraf dan menyelenggara pusat beli-belah serta cawangan sedia ada di mana kami mungkin menaik taraf antara satu atau dua cawangan bagi 2019,” katanya.

Pada masa ini, AEON mengendalikan operasi bagi 28 pusat beli-belah AEON, 34 gedung AEON, satu cawangan MaxValu dan empat pasar raya MaxValu Prime di seluruh negara.

Mengulas mengenai pendigitalan dan e-dagang, Pengarah Urusan AEON, Shinobu Washizawa berkata, Kumpulan itu mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan dalam tawaran e-dagangnya sejak bekerjasama dengan Honestbee dan HappyFresh.

Menurutnya, syarikat melihat permintaan kukuh dalam segmen itu sejak tawaran terbabit mula dilaksanakan pada tahun lalu melalui penyertaan 15 cawangan AEON dan syarikat merancang untuk meningkatkan jumlah itu dengan lebih banyak pada tahun ini.

“Kami tidak memiliki perancangan untuk mewujudkan e-dagang atau syarikat logistik sendiri namun lebih selesa untuk bekerjasama dengan platform e-dagang sedia ada di negara ini,” katanya.

Sementara itu, AEON sedikit optimis bahawa kerajaan akan memperkenalkan inisiatif mesra pengguna yang baik untuk industri peruncitan meskipun dalam jangkaan persekitaran ekonomi dan perniagaan tidak menentu.

“Pendapatan sekali pakai sedikit berkurangan dan ini bermakna persaingan harga adalah sukar di Malaysia. Kami juga memberi perhatian kepada harga pesaing dan komoditi.

“Kerajaan memerlukan kita untuk mengawal harga namun selepas Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) diperkenalkan, harga kos semakin meningkat. Ini adalah salah satu isu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2019 @ 8:51 AM