Shah Alam: Gamuda Land Sdn Bhd, pemaju hartanah terkemuka membuka pusat beli-belah Gamuda Walk di Kota Kemuning bagi memenuhi keperluan penduduk di kawasan berkenaan.

Pengurusnya, Herbie Tan berkata, pusat beli-belah itu menawarkan kemudahan kedai makanan dan minuman, pusat kecantikan dan kesihatan, hiburan, pasar raya serta perkhidmatan.

“Ketika ini, 83 peratus lot jualan di pusat beli-belah ini dipenuhi penyewa berbanding 80 peratus saja yang dicatatkan pada Disember lalu.”

“Kami menyasarkan antara 85 hingga 90 peratus lot jualan di pusat ini disewa pada pertengahan tahun ini. Selain mendapat pelbagai kemudahan di bawah satu bumbung, pengunjung juga disediakan tempat letak kereta yang selesa,” katanya pada majlis pelancaran Gamuda Walk di sini, baru-baru ini.

Sementara Pengarah Urusannya, Chow Chee Wan berkata, pihaknya yakin pembukaan pusat beli-belah itu memberi nilai tambah kepada Kota Kemuning.

“Kami menyasarkan 50 peratus kehadiran pengunjung pada hari biasa dan selebihnya 50 peratus lagi pada hujung minggu.

“Antara penyewa di sini ialah pasaraya Aeon MaxValu, pusat Muay Fit Martial Arts & Fitness, farmasi Caring, GNC Live Well, Sweet Spa Too dan Himalaya Herbal Healthcare,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2015 @ 7:52 AM