RAFIZI. FOTO Eizairi Shamsudin
RAFIZI. FOTO Eizairi Shamsudin
BERNAMA

KERANGKA Ekonomi Madani yang dilancarkan pada 27 Julai lepas berperanan sebagai asas kepada beberapa dasar yang baru diumumkan, termasuk Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

NETR Fasa 1 yang dilancarkan oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pada Julai lalu adalah titik permulaan dalam usaha mengarusperdanakan peralihan tenaga naratif pembangunan negara.

Pada pelancaran itu, Rafizi turut mengumumkan 10 projek rintis perdana yang dijangka menjana pelaburan berjumlah RM25 bilion dan membuka sebanyak 23,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi.

Realitinya, NETR bukan sahaja dokumen yang mengandungi langkah untuk memenuhi sasaran sifar bersih, malah sebagai gabungan strategi dan inisiatif yang boleh mengubah ekonomi, kehidupan rakyat dan kedudukan negara di peta dunia.

NIMP 2030 yang dilancarkan pada 1 September, 2023 pula bakal memberi nafas baharu dalam merencanakan hala tuju perindustrian negara bagi pertumbuhan fasa ekonomi negara seterusnya.

Pelan induk itu menggunakan pendekatan berasaskan empat misi untuk memacu transformasi industri pada skala besar dengan hasrat memajukan ekonomi, membina negara berdaya maju dalam teknologi, mendorong ke arah mengurangkan pelepasan karbon dan membina ekonomi berdaya tahan.

KSP RMK12 bermatlamat merealisasikan pembaharuan diperlukan dan dihasratkan oleh rakyat, dengan segenap usaha untuk menterjemahkan aspirasi Malaysia Madani berdasarkan kerangka Ekonomi Madani.

Pelaksanaan RMK12 dalam tempoh dua tahun terakhir akan menjadi aspek kritikal dalam memastikan perancangan berterusan untuk mempercepat pembangunan negara dan memperkasa rakyat.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Tricia Yeoh berkata, secara amnya wujud pandangan positif terhadap pentadbiran sekarang, terutamanya berikutan kestabilan politik yang lebih baik.

"Kestabilan politik adalah asas dalam memastikan keyakinan pelabur yang menyumbang kepada daya maju ekonomi.

"Terdapat tumpuan lebih terhadap penyatuan fiskal berikutan pemansuhan harga siling ayam, rasionalisasi subsidi untuk tenaga elektrik dan diesel serta pelaksanaan program subsidi bersasar pada tahun depan," katanya.

Yeoh berkata, pelabur juga memberi reaksi terhadap Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal yang dibentangkan serta diluluskan Dewan Rakyat, baru-baru ini.

"Ini memberi petunjuk bahawa kerajaan akan menggunakan langkah khusus serta had bagi mengurus kewangan awam, contohnya mengehadkan nisbah hutang kepada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) pada 60 peratus (di bawah nisbah semasa 65 peratus).

"Kerajaan turut mengumumkan dokumen dasar termasuk NETR, NIMP, rangka kerja Malaysia Madani dan KSP RMK12 yang memaklumkan keutamaan dasar kepada orang ramai," katanya.

Susulan itu, Yeoh berkata apa diperlukan pada masa ini adalah merealisasikan dokumen dasar dan strategi itu kepada tindakan - misalnya industri perlu mengetahui sektor yang akan diutamakan memandangkan tenaga dan kemampanan sememangnya disebut sebagai bidang dasar utama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2024 @ 6:15 AM