AMIR Hamzah (dua dari kanan) pada pelancaran Bursa Malaysia sebagai bursa aset pelbagai dan logo baharu Bursa Malaysia.
AMIR Hamzah (dua dari kanan) pada pelancaran Bursa Malaysia sebagai bursa aset pelbagai dan logo baharu Bursa Malaysia.
Oleh Mahanum Abdul Aziz


Kuala Lumpur: Ekonomi negara dijangka akan kekal berkembang empat hingga lima peratus pada 2024 walaupun ketidaktentuan luaran mencetuskan risiko penurunan, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata, pertumbuhan ekonomi dijangka disokong usaha kerajaan untuk meningkatkan permintaan domestik dan menjana lebih banyak pelaburan ke dalam negara.

Katanya, pembaharuan yang dimulakan oleh kerajaan memperlihatkan rangka kerja Ekonomi Madani telah menyediakan pelan hala tuju yang jelas untuk memacu Malaysia ke rantaian nilai ekonomi yang lebih tinggi dan memberi keyakinan kepada pelabur global.

"Dalam tempoh sembilan bulan 2023, Malaysia memperoleh RM225 bilion dalam pelaburan yang diluluskan. Ini mewakili peningkatan 6.6 peratus berbanding tahun sebelumnya, membawanya kepada jumlah tertinggi untuk tempoh yang sama sepanjang dekad yang lalu," katanya pada pelancaran Bursa Malaysia sebagai bursa aset pelbagai dan logo baharu Bursa Malaysia di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar; Pengerusi Suruhanjaya Sekuruti Malaysia (SC), Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin dan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift.

Amir Hamzah berkata, prestasi pelaburan itu menunjukkan pelabur telah bertindak balas dengan baik terhadap visi Ekonomi Madani, sejajar dengan dokumen dasar sokongan, iaitu Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP) dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Beliau berkata, rangka kerja ekonomi bersama dengan dokumen dasar menunjukkan komitmen kerajaan untuk meningkatkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan global dan memperkasakan nilai Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) perniagaan pihaknya.

"Dalam beberapa bulan dan tahun akan datang, kerajaan akan melihat melalui pelaksanaan dokumen dasar ini dan memastikan bahawa visi Ekonomi Madani akan menjadi kenyataan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2024 @ 9:25 AM