PENGERUSI Interim FGV, Datuk Shahrol Anuwar Sarman (kiri), Pengarah Sektor Perladangan FGV, Mohd Sarian Md Sahid (dua dari kiri), Fadillah (tiga dari kiri), Nazrul (tiga dari kanan), Ketua Kelestarian Kumpulan FGV, Nurul Hasanah Ahamed Hassain Malim (dua dari kanan) bersama peserta Program Kosultasi FGV di Miri, Tindit AK Bandan dan cucunya serta Alex AK Jisa (kanan).
PENGERUSI Interim FGV, Datuk Shahrol Anuwar Sarman (kiri), Pengarah Sektor Perladangan FGV, Mohd Sarian Md Sahid (dua dari kiri), Fadillah (tiga dari kiri), Nazrul (tiga dari kanan), Ketua Kelestarian Kumpulan FGV, Nurul Hasanah Ahamed Hassain Malim (dua dari kanan) bersama peserta Program Kosultasi FGV di Miri, Tindit AK Bandan dan cucunya serta Alex AK Jisa (kanan).

Kuala Lumpur: FGV Holdings Berhad (FGV), syarikat makanan dan perniagaan tani terulung Malaysia giat mengadakan Program Konsultasi bersama pekebun kecil dan pembekal sawit dengan tujuan berkongsi ilmu serta memberikan penerangan komitmen FGV melaksanakan dasar pembangunan lestari industri kelapa sawit negara terutamanya untuk menjayakan Persijilan Kelestarian Minyak Sawit Malaysia (Malaysian Sustainable Palm Oil - MSPO) dan juga Roundtable of Sustainable Palm Oil (RSPO).

Sesi konsultasi ini yang bermula sejak Januari 2020 sejajar dengan seruan kerajaan menetapkan kesemua pengusaha sawit di negara ini perlu mendapat Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) berkuat kuasa 31 Disember 2019 termasuk pekebun kecil persendirian (Independent Smallholder - ISH) dan pembekal buah tandan segar (BTS).

Selain itu, program ini juga bermatlamat menjadi medium perkongsian maklumat mengimbangi keperluan antara industri, masyarakat dan alam sekitar serta memberi peluang kepada golongan pembekal dan pekebun kecil menyampaikan maklum balas secara langsung berkaitan operasi FGV bagi tujuan penambahbaikan.

Antara pengisian program konsultasi berkenaan termasuklah memberikan penerangan mengenai komitmen kelestarian FGV, memberikan penerangan mengenai kepentingan persijilan minyak sawit, berkongsi pengetahuan mengenai prinsip 3P (people-planet-profit) dan menjalankan jalinan urus niaga mampan FGV bersama pihak berkepentingan.

Program Konsultasi FGV terdiri daripada sembilan sesi konsultasi di seluruh Malaysia bagi membolehkan pertemuan FGV bersama semua rakan ISH serta pembekal.

Tujuh siri konsultasi telah diadakan, dua siri lagi dirancang akan diadakan di Rompin dan Sabah.

Siri pertama program ini diadakan di Johor Bahru, siri kedua di Kuching, siri ketiga di Port Dickson, siri keempat di Pulau Pinang, siri kelima di Kuantan, siri keenam di Kuala Terengganu dan yang ketujuh telah diadakan di Miri, baru-baru ini. Lokasi program konsultasi yang seterusnya bakal diadakan di Rompin dan sesi terakhir bagi tahun ini adalah di Tawau, Sabah.

Bagi menjayakan program konsultasi ini, FGV membelanjakan sebanyak RM4.05 juta sejak tahun 2020 dan berhasrat menyasar pembabitan seramai 1,000 peserta bagi keseluruhan program ini.

Program ini juga menerima maklum balas positif dari pelbagai pihak pihak yang terbabit.

Dalam acara penutup bagi program konsultasi di Miri yang lalu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan Dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof turut hadir bagi memeriahkan majlis.

"Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan syabas kepada semua peserta program konsultasi yang sememangnya layak digelar pundukung kelestarian industri sawit. Setinggi-tinggi penghargaan kepada FGV di atas penganjuran program ini yang amat kritikal kepada pekebun-pekebun kecil persendirian dan industri sawit tempatan" kata beliau di dalam majlis penutup berkenaan.

Majlis penutup itu turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Datuk Nazrul Mansor serta ahli Lembaga Pengarah FGV dan barisan pengurusan kanan kumpulan FGV.

Seramai 150 pekebun kecil dan pembekal menyertai majlis penutup berkenaan di Miri.

Selain menganjurkan program konsultasi, FGV juga giat melaksanakan program konservasi alam sekitar.

Usaha ini dilaksanakan melalui Program Konservasi Beruang Matahari bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Malaysia Nature Society (MNS) dalam memastikan haiwan seperti beruang matahari, ungka/siamang dan tenggiling dapat terus dipelihara sebaiknya sebagai warisan untuk generasi masa hadapan.

FGV akan meneruskan usaha kelestarian industri sawit selaras dengan Kerangka Kelestarian FGV yang bertunjangkan tiga teras utama, iaitu menghormati hak asasi manusia; memelihara alam sekitar dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2023 @ 10:53 AM