NEGARA pengimport memperakui sijil MSPO dan menyatakan kesediaan untuk membeli sawit Malaysia. FOTO Amir Irsyad Omar
NEGARA pengimport memperakui sijil MSPO dan menyatakan kesediaan untuk membeli sawit Malaysia. FOTO Amir Irsyad Omar

LEMBAGA Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menggalakkan pekebun sawit di Malaysia mendapatkan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) bagi membantu mereka mendapatkan hasil berkualiti tinggi.

Pengerusi MPOB, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, pensijilan itu juga dijangka dapat memberi manfaat kepada lebih 500,000 pekebun kecil terutama 258,657 pekebun sawit persendirian di Malaysia.

"Kita komited dalam mendapatkan 100 peratus pengiktirafan MSPO di Malaysia. Fokus utama kepada pekebun dalam usaha membantu mereka mendapatkan hasil buah tandan segar (BTS) yang bermutu tinggi yang secara langsung dapat meningkatkan kadar perahan minyak (OER)," katanya.

Menurutnya, pihaknya juga memberi lebih tumpuan kepada pekebun persendirian kerana kelompok ini kurang mendapat pendedahan berkaitan kepentingan MSPO.

"Pemilik ladang yang berskala besar atau pihak industri mempunyai pengetahuan berkenaan MSPO dan mereka memohon serta mendapat sijil yang diperlukan berbanding pekebun kecil persendirian.

"MPOB memandang serius dengan pensijilan ini kerana 2.3 juta hektar daripada 5.90 juta hektar tanaman sawit dimiliki oleh pekebun kecil dan persendirian yang meliputi 60 peratus tanah pertanian di Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, negara pengimport memperakui sijil MSPO dan menyatakan kesediaan untuk membeli sawit Malaysia dengan harga lebih tinggi, sekaligus membantu pekebun meningkatkan pendapatan daripada penghasilan buah tandan segar bermutu tinggi.

"Pensijilan ini akan memberi pengetahuan seperti amalan pertanian baik (GAP) sawit, mengurangkan kos pengeluaran, meningkatkan kecekapan pengurusan serta meningkatkan produktiviti dan secara langsung meningkatkan pendapatan pekebun.

"Kami juga menyediakan 54 pejabat Tunjuk Ajar dan Nasihat Sawit (TUNAS) di seluruh Malaysia bagi membantu pekebun mendapatkan pensijilan MSPO," katanya.

Dalam pada itu, katanya, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi melalui MPOB telah memberi peruntukan yang cukup bagi memastikan pensijilan ini dapat disempurnakan.

"Oleh itu, pekebun-pekebun kecil harus mengambil peluang ini bagi memastikan sijil ini mencapai sasaran 100 peratus pada tahun 2020.

"Peluang ini harus digunakan sebaik-baiknya, terutama dengan pengecualian 100 peratus duti eksport terhadap minyak sawit mentah, minyak isirong sawit mentah dan minyak isirong sawit yang diproses bermula 1 Julai hingga 31 Disember 2020.

"Ia akan memberi manfaat yang besar kepada pekebun, pemilik ladang serta pihak industri dalam usaha menambah pendapatan serta menyumbang kepada ekonomi negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2020 @ 7:10 AM